BIBD perketat langkah kawalan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut mengumumkan beberapa langkah kawalan untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Bermula esok, 11 hingga 15 Ogos depan, beberapa cawangan bank berkenaan akan dibuka sesuai dengan waktu kerja bermula 9 pagi hingga 3 petang pada Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, perubahan berkenaan mungkin akan disemak mengikut perkembangan keadaan COVID-19 tempatan.

Kenyataan menyatakan, cawangan-cawangan yang akan melaksanakan waktu kerja berkenaan adalah ibu pejabat di Bandar Seri Begawan, Kiulap, Serusop, Tanjung Bunut, Tutong, Kuala Belait dan Temburong serta BIBD Securities di Kiulap dan BIBD At-Tamwil di Beribi.

Perkhidmatan kaunter yang tersedia pada waktu bekerja yang disesuaikan berkenaan adalah pengeluaran wang tunai, simpanan dan kiriman wang sementara itu, mesin layan diri seperti ATM, mesin deposit tunai (CDM) dan mesin deposit cek (CQM) sentiasa tersedia sepanjang masa.

Perkhidmatan BIBD NEXGEN, kad kredit dan debit BIBD serta BIBD QuickPay juga masih beroperasi. BIBD QuickPay, yang kini menyokong lebih daripada 1,200 peniaga, dapat membantu melindungi perniagaan kecil dan mikro dengan tidak perlu bertransaksi secara fizikal.

Sementara itu, cawangan Rimba, Gadong NEXGEN, Manggis, Mentiri, Seri Complex, Muara, Panaga dan Seria serta BIBD At-Tamwil di Kuala Belait akan ditutup.

Berikutan penutupan tersebut, BIBD mendorong pelanggan untuk mula menggunakan sistem tanpa tunai atau Go Digital! Serta mempromosikan tabiat menjalankan platform keperluan perbankan dengan selamat secara digital

BIBD sangat menghargai keselamatan pelanggan dan masyarakat umum dan kekal komited untuk memberikan pengalaman perbankan terbaik dengan jarak jauh.

Pelanggan dan orang ramai juga disarankan untuk hanya mengunjungi cawangan apabila perlu dan menangguhkan lawatan pada satu masa apabila selamat untuk melakukannya.