Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    BIBD rai 78 kakitangan setia

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan kumpulan syarikatnya, baru-baru ini telah meraikan 78 kakitangannya yang setia dan lama berkhidmat yang secara kolektif menyumbang kepada kejayaan organisasi tersebut.

    Satu Majlis Anugerah Perkhidmatan telah diadakan di Tarindak d’Seni di ibu negara, kelmarin, untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada pekerja yang telah lama berkhidmat, ada di antara mereka telah mendedikasikan sehingga 35 tahun kerjaya mereka di bank tersebut.

    Timbalan Pengarah Urusan I Kumpulan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, dalam ucapan semasa majlis tersebut mengimbau kembali persekitaran kerja dan cabaran semasa kemuncak pandemik di mana kakitangan bank menunjukkan dedikasi dan komitmen yang luar biasa ketika bekerja pada masa yang tidak menentu dan penuh cabaran.

    “Keupayaan awda untuk menyesuaikan diri dalam keadaan mencabar, mungkin menyesuaikan pelbagai peranan dan komitmen semasa berada di rumah, dan kadang-kadang, bekerja untuk masa lama, sudah pasti menyumbang kepada kejayaan bank sepanjang tahun lalu,” katanya.

    “Acara hari ini bukan sahaja mengiktiraf kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang pandemik COVID-19 tetapi juga untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada pekerja kami yang telah lama berkhidmat dan setia yang telah mendedikasikan khidmat yang tidak ternilai selama bertahun-tahun kepada BIBD dan telah mewujudkan nilai Integriti I-CUE kami, Fokus Pelanggan, Perpaduan Tujuan dan Kecemerlangan dalam kerja mereka,” tambah Hajah Noraini.

    Turut hadir pada majlis tersebut dan menyampaikan anugerah kepada pekerja yang telah mencapai perkhidmatan 30 tahun ialah Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Haji Sofian bin Mohammad Jani yang juga ahli Lembaga Pengarah Kumpulan BIBD.

    Sementara itu, Hajah Noraini menyampaikan anugerah kepada pekerja yang telah menamatkan perkhidmatan 25 dan 20 tahun. Anugerah kepada kakitangan yang telah menamatkan perkhidmatan selama 15 dan 10 tahun telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusan II dan Ketua Perbankan Runcit, Awang Irwan bin Haji Lamit.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah pihak pengurusan kanan dan pegawai-pegawai BIBD.

    Memandangkan Kumpulan BIBD berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai bank Islam terbaik di Asia Pasifik, bank itu mempercayai asas kejayaan dan masa depan negara amat bergantung pada kualiti dan kecekapan rakyatnya.

    Haji Sofian menyampaikan anugerah kepada salah seorang kakitangan yang telah mencapai perkhidmatan 30 tahun pada majlis yang berlangsung di Tarindak d’Seni, ibu negara, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...