BIBD rai kejayaan tiga usahawan wanita

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah meraikan tiga usahawan wanita yang berjaya menamatkan Program BIBD SEED pada majlis yang berlangsung di ibu negara, hari ini, yang turut menyaksikan pelancaran kohort ketiga program berkenaan.

Peserta-peserta yang berjaya itu ialah Dayang Dinah binti Mat Dali (LokLok Celup), Dayang Siti Masfatimah binti Haji Barudin(Sate Cawan) dan Dayang Siti Nurhamizzah binti Khalid (Majestic Wrap).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, ahli-ahli perniagaan wanita berkenaan telah menamatkan latihan dan bootcamp sebagai sebahagian daripada kohort kedua program bagi pengambilan 2019/2020.

Hadir menyampaikan sijil kepada graduan kohort kedua program berkenaan ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Awang Sulaiman yang kemudiannya turut mengalu-alukan peserta kohort ketiga dengan menyampaikan sijil penyertaan.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam ucapan alu-aluannya memuji semangat kuat dan kesabaran graduan sepanjang program.

“Mereka telah berjaya mengharungi pelbagai percubaan dan cabaran besar terutamanya semasa pandemik COVID-19 dengan menjadi lebih proaktif dan inovatif dalam perniagaan masing-masing,” ujar beliau.

Majlis berkenaan juga menyaksikan pengenalan 10 orang peserta baharu bagi kohort ketiga program yang akan menjalani sembilan bulan latihan intensif dan latihan pasaran bermula 1 September ini hingga 31 Mei 2021.

Hajah Nurul memberitahu para peserta baharu berkenaan untuk mencontohi kualiti-kualiti graduan kumpulan kedua berkenaan dan terus gigih sepanjang program. Kenyataan menyatakan, pelancaran kohort baharu itu menunjukkan komitmen BIBD ke arah pembangunan negara, bukan sahaja sebagai institusi kewangan, tetapi juga sebagai rakyat yang bertanggungjawab menyumbang ke arah ke kejayaan Brunei dan masyarakatnya.

Gambar ramai warga pengurusan BIBD bersama usahawan wanita (belakang) yang dirai. – Gambar serahan BIBD