Tuesday, August 9, 2022
22.7 C
Brunei

BIBD Securities lancarkan dana alam sekitar

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Bagi pelabur yang ingin melabur dalam produk-produk yang mempromosikan pertumbuhan ekonomi mampan selaras dengan komitmen global ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), BIBD Securities Sdn Bhd melancarkan dana alam sekitar, sosial dan urus tadbir korporat (ESG) yang patuh syariah.

Dana yang akan dilancarkan kepada orang ramai pada 6 Disember ini bersama syarikat pengurusan aset global, Arabesque, merupakan dana ESG patuh syariah pertama yang boleh didapatkan di Brunei yang menyediakan penyelesaian bagi pelabur-pelabur yang inginkan pelaburan patuh syariah serta berstrategi mampan.

Pelancaran dana itu merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kumpulan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai sebahagian daripada rangka kerja kemapanan kumpulan, yang bermatlamat untuk menyokong komitmen meluas kepada kemapanan yang telah angkat ke dalam strategi perniagaan secara keseluruhannya yang memberikan penekanan kepada perlindungan alam sekitar, keusahawanan bertanggungjawab dan impak sosial inklusif.

Pengurusan Aset BIBD (BIBD AM) yang beroperasi di bawah lesen BIBDS, baru-baru ini telah disenaraikan sebagai penandatangan kepada United Nations Principles of Responsible Investing (UN PRI), iaitu yang pertama bagi negara ini.

UN PRI merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang disokong PBB yang berkhidmat untuk mempromosikan penggabungan faktor-faktor alam sekitar, sosial dan urus tadbir korporat ke dalam membuat keputusan pelaburan.

Haji Muhammad Yazid ketika memberikan penerangan mengenai dana ESG yang akan dilancarkan oleh BIBD Securities Sdn Bhd. – Gambar serahan BIBD

Pengarah Urusan BIBD Securities, Haji Mohd Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi semasa sidang media mengenai dana ESG secara maya, hari ini, menyatakan bahawa matlamat mereka adalah untuk menjadi peneraju bagi ESG dan pelaburan bertanggungjawab sosial di Negara Brunei Darussalam yang selaras dengan prinsip-prinsip Maqasid Shariah yang telah diamalkan oleh BIBD sekian lamanya.

Dengan disenaraikan dalam UN PRI, jelasnya lanjut, ia menunjukkan komitmen mereka ke arah menggabungkan enam prinsip UN PRI ke dalam proses membuat keputusan mereka serta membawa mereka kepada memperkenalkan produk pelaburan dana ESG kepada klien-klien mereka.

Menerusi penggabungan data ESG dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), dana itu berusaha untuk mengurangkan sikap berat sebelah manusia dan menyampaikan pulangan diselaraskan risiko.

Dana Arabesque Q3.17 Global ESG Momentum Flexible Allocation, merupakan sebuah strategi aset yang pelbagai di mana ia menggabungkan kriteria kemapanan bahan dan analisis saham berpandukan AI dalam proses pelaburan yang berasaskan peraturan.

Mematuhi secara ketat dengan garis panduan Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), strategi itu memastikan kepatuhan syariah bagi dana asas.

Ruang kebolehpelaburan global strategi itu merangkumi kira-kira 1,500 syarikat yang tinggi kecairannya serta kemapanannya mapan serta mengecualikan syarikat-syarikat yang menjana keuntungan daripada aktiviti-aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan seperti yang digariskan dalam garis panduan AAOIFI.

Proses pemilihan saham yang telus itu juga sama-sama memperuntukkan dalam sekitar 100 buah syarikat dengan prospek paling kukuh untuk kejayaan masa hadapan, manakala peruntukan tunai dinamik membolehkan peningkatan kestabilan dan penyertaan pasaran sistematik.

BIBD Securities akan melancarkan dua kelas share dana iaitu kelas R share bagi pelabur-pelabur runcit dengan langganan minimum AS$100 bagi pelan pelaburan bulanan dan langganan sekali gus (lump sum) sementara itu, kelas USD Share bagi pelabur-pelabur institusi dengan langganan minimum AS$50,000.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -