BIBD sediakan kaunter khas bagi penerima pencen

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) memaklumkan bahawa semua cawangannya akan dibuka lebih awal khasnya untuk golongan warga emas dan penerima-penerima pencen pada 27 Jun ini.

BIBD dalam kenyataannya menyatakan bahawa mereka akan menyediakan kaunter khas bagi golongan tersebut, yang akan beroperasi lebih awal bermula 8 pagi hingga 9:30 pagi.

Ini adalah salah satu inisiatif untuk memberi laluan kepada golongan warga emas mengunjungi cawangan BIBD dengan selesa pada waktu yang tertentu dan memastikan penjarakan fizikal para pelanggan. Perkhidmatan kaunter akan beroperasi seperti biasa selepas 9:30 pagi, tambah kenyataan itu.