BIBD sokong petugas barisan hadapan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Dalam menunjukkan perpaduan dan sokongan kepada petugas barisan hadapan ketika Brunei bergelut menangani gelombang kedua wabak COVID-19, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan menyumbangkan makanan sepanjang minggu ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, inisiatif selama seminggu itu dijalankan oleh Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas (GRSP) dengan kerjasama McDonald’s Brunei dan bermatlamat untuk menyokong petugas barisan depan yang pada masa ini bertungkus-lumus di kesemua pusat perubatan dan vaksinasi di negara ini.

Ketua GRSP di BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah dipetik sebagai berkata, “Sebagai rakan dalam kemajuan, adalah penting bagi kami mengambil pendekatan seluruh negara dalam menunjukkan sokongan kami kepada kerajaan dan juga masyarakat ketika kita terus membantu negara memerangi COVID-19.

“Inisiatif dan kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmen BIBD untuk menyokong negara semasa masa-masa sukar ini dan gambaran sebenar identiti Bruneian at Heart kami,” tambah beliau.

Menurut beliau lagi, BIBD melakukan yang terbaik untuk menyokong negara dengan melaksanakan beberapa strategi yang mana menerusi inisiatif tanggungjawab sosial (CSR), Community for Brunei, mereka meluaskan sokongan bagi sukarelawan dan sumbangan yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kenyataan menyatakan, inisiatif berkenaan telah bermula kelmarin dengan sumbangan kepada pusat vaksinasi di Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Daerah Temburong dan akan berakhir pada 22 Ogos dengan sumbangan akan diteruskan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup, Kompleks Sukan RIPAS, Talian 148 Kementerian Kesihatan, Pusat Kesihatan Sumbiling dan pemandu-pemandu ambulans di bawah Hospital RIPAS.

Wakil BIBD menghulurkan sumbangan hidangan kepada salah seorang petugas di pusat vaksinasi di Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Daerah Temburong. – Gambar serahan BIBD