BIBD sumbang makanan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini, telah menyumbangkan makanan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dalam menunjukkan perpaduan kebangsaan dan sokongan kepada keluarga yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, inisiatif berkenaan dijalankan Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas (GRSP) bank berkenaan dengan kerjasama KKBS bermatlamat untuk membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh mereka yang terkesan dari segi kewangan dan ekonomi oleh pandemik.

BIBD Care Pack berkenaan akan diagihkan kepada 500 buah keluarga yang kurang bernasib baik dan individu di negara ini oleh KKBS.

Ketua GRSP, BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah berkata, tajaan berkenaan menandakan komitmen kuat mereka, sebagai rakan dalam kemajuan untuk menyokong negara dan mereka yang memerlukan dalam masa-masa sukar ini melalui pendekatan seluruh negara.

“Ini juga mencerminkan dedikasi kami untuk menegakkan prinsip Maqasid Syariah yang berakar umbi dalam BIBD dan sejajar dengan DNA Bruneian at Heart kami yang bertujuan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan masyarakat kita,” tambahnya.

Sokongan berterusan BIBD kepada agensi kerajaan, di samping inisiatif CSR pihak bank berkenaan, adalah antara komitmen untuk menjadi rakan dalam kemajuan semasa negara berusaha mencapai Wawasan Brunei 2035.

Wakil BIBD bergambar bersama sumbangan makanan yang diserahkan kepada KKBS untuk keluarga yang terjejas oleh pandemik COVID-19. – Gambar serahan BIBD