BIBD sumbang pelindung muka

Oleh Lyna Mohamad
Gambar serahan BIBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Sebagai komitmen berterusannya untuk menyokong usaha negara memerangi penularan COVID-19, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menyampaikan sumbangan bekalan kepada pekerja barisan hadapan semalam.

Sebanyak 500 pelindung muka telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah kepada Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) masing-masing pada majlis yang berlangsung di pintu utama JPMC.

Hadir untuk menerima sumbangan bagi pihak JPMC ialah Pengarah Perubatan, Dr Meera Sahib. Juga hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Operasi JPMC, Bun Pei Ling.

Sementara itu, PJSC diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Dr Haji Awang Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.

Sumbangan semalam merupakan sebahagian daripada komitmen BIBD untuk memainkan peranan aktif sebagai rakan dalam kemajuan bagi membendung penularan COVID-19 dengan memastikan kakitangan barisan depan dilindungi sepenuhnya ketika menjalankan tugas mereka.

Pada masa yang sama, BIBD ingin menyeru orang awam supaya mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dan tinggal di rumah demi memutuskan rantaian jangkitan dan mengelak membebani sistem penjagaan kesihatan negara.

Pihak BIBD ketika menyampaikan pelindung muka kepada JPMC kelmarin.
Pihak BIBD menyumbangkan pelindung muka kepada PJSC pada majlis yang berlangsung baru-baru ini.