Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) baru-baru ini, telah menyumbangkan peralatan IT kepada Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) sebagai sebahagian daripada inisiatif Pengurusan Kitaran Hayat IT.
Majlis penyerahan sumbangan peralatan IT bagi kumpulan terakhir berkenaan telah berlangsung pada 27 Januari lalu di kolej berkenaan di mana sumbangan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IGS, Dr Haji Azahairaini bin Haji Mohd Jamil.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, di bawah inisiatif berkenaan, sebanyak 122 peralatan IT telah disumbangkan secara berkelompok bermula Disember lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Maklumat BIBD, Awang Yusof Fadli bin Haji Sidek dipetik berkata, BIBD kekal komited dan melabur dalam menyokong agenda negara ke arah menjadi negara pintar, diperkasakan oleh ekonomi digital. Dalam era digital hari ini, mereka percaya rangkaian adalah asas untuk membolehkan komunikasi dan menyokong perniagaan.
Disebabkan pasukan IT menjalani penaiktarafan dan penggantian peralatan pada 2021, terdapat sejumlah besar peralatan yang telah diganti.
Walaupun peralatan yang rosak telah dimusnahkan, peralatan yang kekal berfungsi dan boleh digunakan telah diberikan kepada institusi pendidikan.