BIBD terima anugerah Bank Tahunan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menerima Anugerah Bank Tahunan daripada The Banker, menandakan tahun kedua berturut-turut BIBD telah menerima anugerah tersebut.

Dalam kenyataan yang diterima BIBD, Anugerah Bank Tahunan oleh The Banker, dianggap sebagai standard industri untuk kecemerlangan perbankan, telah menilai bank-bank berdasarkan keupayaan mereka memberikan hasil pulangan, memperoleh kelebihan strategik serta memenuhi pasaran mereka.

Menurut The Banker, “Tahun ini adalah tahun yang amat kompetitif untuk Anugerah Bank Tahunan The Banker, menjadikan pemenang tahun ini amat layak memenangi trofi berkenaan. Persaingan adalah amat sengit kerana bank-bank di seluruh dunia memper-tingkat bidang mereka dalam transformasi digital, pengalaman pelanggan dan menampilkan kriteria alam sekitar, sosial dan pematuhan.”

Semasa memberikan komen mengenai kemenangan BIBD, The Banker menambah, “BIBD telah membangunkan beberapa produk inovatif untuk sektor kewangan Islam, menggabungkan keperluan pematuhan Syariah dengan teknologi digital. Usaha berkenaan telah membantu bank meraih Anugerah Bank Tahunan untuk Brunei.”

Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman berkata, “Alhamdulillah, ini adalah satu pengiktirafan yang kami ambil berat dan sudah pastinya kami tidak akan berada di sini tanpa pelanggan kami. Kami berterima kasih atas maklum balas yang telah kami terima daripada mereka dan kami ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa kami mendengar kepada maklum balas mereka. BIBD tetap komited untuk membawa perubahan yang ingin dilihat mereka. Bagaimanapun perubahan besar tidak berlaku semalaman dan kami menghargai kesabaran dan sokongan mereka.”

Beliau menambah, “Penghargaan juga diberikan kepada lembaga dan Lembaga Penasihat Syariah yang sentiasa memberikan kami dorongan dan pendapat mereka, kepada kerajaan Baginda Sultan menerusi Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan juga kepada badan pengawal selia kami atas kepercayaan dan keyakinan mereka. Terima kasih juga diucapkan kepada pelanggan atas sokongan, kepercayaan dan kesetiaan mereka. Kami tidak sabar-sabar untuk memberikan perkhidmatan berterusan kepada mereka sebagai Bank Tahunan The Banker, ketika kami merintis jalan ke arah masa depan yang lebih hijau, lebih saksama.”

Selain anugerah The Banker, BIBD juga dinamakan Bank Terbaik di Brunei oleh Global Finance dan Institusi Kewangan Islam Terbaik di Brunei serta Bank Paling Kukuh di Brunei berdasarkan Kunci Kira-Kira dan Bank Runcit Terbaik di Brunei oleh The Asian Banker untuk tahun kesembilan berturut-turut.