BIBD terima kunjungan profesional perkhidmatan awam

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kelmarin menjadi hos profesional perkhidmatan awam daripada Program Pembangunan Kepimpinan Brunei-Singapura ke-11 semasa lawatan mereka ke ibu pejabat BIBD di ibu negara.

Menurut kenyataan dikeluarkan BIBD di sini, kunjungan delegasi terdiri daripada 30 orang profesional itu dihasratkan dapat memberikan mereka pendedahan kepada inisiatif dan program BIBD yang sejajar dengan aspirasi Brunei.

Ia juga dihasratkan dapat menyokong objektif kerajaan meningkatkan kemahiran profesional serta membentuk pemimpin dalam perkhidmatan awam, menurut Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar.

Dalam pembentangannya, beliau mengongsi latar belakang BIBD dan perjalanannya menjadi bank pilihan utama Brunei dan juga inisiatif digital serta tanpa cawangannya.

Manakala Ketua Hubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah turut mengongsi pandangan mengenai inisiatif dan program pelbagai agensi BIBD, termasuklah program memperkasa ibu tunggal, BIBDSEED.

“Program BIBDSEED merupakan satu contoh program yang menumpukan kerjasama utama pelbagai agensi. Kami benar-benar percaya bahawa pembabitan pembuat dasar seperti kerajaan, pemimpin industri seperti BIBD dan agensi perniagaan lain akan memberikan hasil yang akhirnya memenuhi matlamat kebangsaan kami,” katanya.

Selain mendengar taklimat, delegasi juga melawat BIBD Connects di Taman Mahkota Jubli Emas, yang merupakan hab komuniti ditubuhkan BIBD melalui perkongsian model swasta-awam sebagai sebahagian daripada inisiatif bank itu untuk mempromosikan kemudahan melakukan perniagaan dan mempertingkatkan peluang di kalangan PMKS tempatan selain memeriahkan persekitarannya.

Gambar ramai warga BIBD bersama rombongan profesional perkhidmatan awam Brunei-Singapura.