Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    BIBD terus berdaya tahan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kedudukan kewangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kekal berdaya tahan dan terus mencatatkan keuntungan pada tahun 2021, meskipun berdepan pelbagai cabaran akibat wabak dan persekitaran hasil global yang rendah.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kapasitinya sebagai pengerusi BIBD dan kumpulan syarikatnya semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2022 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Beliau menambah pengurusan kewangan yang berhemat dengan menekankan pengurusan risiko yang dipertingkatkan dan inisiatif-inisiatif menumpu masyarakat terus menjadi peneraju pengurusan utama bagi BIBD pada 2021.

    “Dalam tahun yang dijejaskan oleh cabaran COVID, BIBD sebagai sebuah organisasi telah memperhebatkan usaha untuk membantu negara mencapai pemulihan ekonomi mampan dengan menjana sebuah ekosistem yang bermanfaat dan kondusif bagi masyarakat dan perniagaan kita,” ujarnya.

    Pada 2021, Kumpulan BIBD mencatatkan pendapatan sebanyak $317 juta, memperoleh keuntungan bersih sebanyak $149 juta manakala aset keseluruhan meningkat kepada
    $10.6 bilion.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama ahli Lembaga Pengarah BIBD semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2022 di The Empire Brunei.
    Pendaftaran yang dijalankan semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2022 di The Empire Brunei, Jerudong, kelmarin.

    Kumpulan itu juga menyampaikan Return of Equity (ROE) yang kukuh kepada para pemegang saham pada 11.6 peratus, meningkatkan pulangan dan nilai kepada pemegang-pemegang sahamnya.

    Semasa mesyuarat itu, pemegang-pemegang saham disampaikan dengan penyata kewangan bagi tahun berakhir 2021 dan meluluskan dividen akhir 17.40 sen ($0.174) setiap saham biasa.

    Pada kemuncak pandemik, BIBD secara sedar meletakkan pihak yang berkepentingan dan masyarakat mendahului keuntungan, meningkatkan sumbangan kemasyarakatan bukannya mengecilkan program-program yang memanfaatkan masyarakat untuk menjimatkan kos.

    Di antara langkah-langkah strategik yang dilaksanakan oleh BIBD adalah untuk meningkatkan pembayaran digital yang sedia ada, meningkatkan program-program kemasyarakatan dan yang lebih mustahak, Rangka Kerja Kemampanan BIBD.

    Dalam memberikan ringkasan bagi tahun dalam tinjauan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengongsi bahawa apabila negara mencatatkan kes jangkitan COVID-19 tempatan pertama setelah lebih setahun bebas COVID, BIBD dengan pantas mengambil langkah-langkah untuk menyediakan persekitaran perniagaan dan kerja yang selamat kepada kakitangan dan pelanggannya serta mengurangkan kesan pandemik berkenaan.

    Walaupun menghadapi cabaran itu, BIBD terus berkhidmat untuk pelanggannya dengan memanfaatkan saluran-saluran perbankan digitalnya.

    BIBD juga menghulurkan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan menyokong negara yang mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN.

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa BIBD turut mengumumkan Rangka Kerja Kemampanan BIBD, yang menandakan komitmen jelas BIBD kepada kemampanan, sejajar dengan prinsip-prinsip Maqasid Syariah dan selaras dengan DNA, Bruneian at Heart, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyokong negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Wawasan Brunei 2035.

    “Di seluruh Kumpulan BIBD, kami telah mula mengambil langkah-langkah konkrit ke arah memenuhi komitmen ini yang kami akan, Insya-Allah, teruskan dalam tahun-tahun mendatang.

    “Kami juga bangga untuk menjadi rakan kongsi dalam kemajuan bagi negara, menyokong pelbagai agensi-agensi kerajaan dalam usaha ke arah kemampanan sambil menyokong komuniti menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” ujar beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato menyatakan lagi menerusi dedikasi dan kepimpinan berte-rusan lembaga pengarah, Badan Penasihat Syariah dan usaha bersepadu keseluruhan Kumpulan BIBD, BIBD akan terus mencapai lebih tinggi lagi dalam memenuhi aspirasi ahli-ahlinya, pelanggan, kakitangan dan masyarakat secara keseluruhannya.

    Mesyuarat Agung Tahunan 2022 yang dianjurkan oleh BIBD bertujuan menyemak perkembangan tahun sebelumnya semasa kumpulan itu memulakan perjalanan untuk menjadi sebuah institusi kewangan mampan unggul bagi memperkasa pemulihan negara daripada COVID dan seterusnya.

    Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah BIBD, Badan Penasihat Syariah BIBD, para pemegang saham, pasukan pengurusan kanan dan pegawai BIBD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...