BIBD terus cemerlang

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Kumpulan BIBD bukan sahaja mencatatkan keuntungan bersih yang tertinggi tetapi juga mencatatkan mercu tanda bersejarah daripada segi saiz asetnya.

Pada 2018, BIBD telah mencatatkan jumlah keuntungan yang bersejarah sebanyak $147.9 juta iaitu peningkatan sebanyak 27.3 peratus jika dibandingkan dengan keuntungan yang dicatatkan pada 2017 sebanyak $116.2 juta.

Pada tahun yang sama, jumlah aset keseluruhan BIBD juga mencatatkan satu mercu tanda yang bersejarah bagi kumpulan berkenaan iaitu sebanyak lebih $10 bilion, di mana ia mengukuhkan lagi kedudukan BIBD sebagai pendahulu pasaran di Brunei.

Di samping itu, BIBD juga memberikan pulangan yang baik kepada pemegang-pemegang sahamnya iaitu sebanyak 12.5 peratus bagi tahun kewangan 2018 di mana ia terus memberikan peningkatan dari segi pulangan dan nilai kepada pemegang saham.

“Alhamdulillah, kita telah mencatat satu lagi tahun kejayaan bagi BIBD, hasil daripada kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan, pemegang saham dan pihak-pihak yang berkepentingan terhadap BIBD,” ucap Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Lembaga BIBD semasa mesyuarat agung tahunan 2019.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2019 yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh James Kon
Di antara mereka yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2019 yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

Beliau berkata lagi semasa mesyuarat yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini bahawa visi BIBD untuk menjadi bank Islam pilihan serantau akan membolehkan mereka untuk meningkatkan dan mempelbagaikan aliran pendapatan dan memberikan pulangan pelaburan yang lebih baik bagi pemegang-pemegang saham.

“Kita juga komited terhadap visi untuk memandu BIBD ke hadapan sebagai pilihan utama warga Brunei dan akan terus memberikan sumbangan yang signifikan kepada pelanggan, pemegang saham, komuniti dan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar, mengucapkan tahniah kepada semua Kumpulan BIBD di atas usaha mereka bagi pencapaian yang cemerlang pada tahun berkenaan.

Beliau percaya bahawa urus tadbir dan dasar-dasar pengurusan yang kukuh telah membolehkan mereka untuk mencapai pulangan optimum kepada pelanggan serta pemegang saham mereka.

Beliau menyatakan lagi bahawa BIBD amat beruntung kerana mempunyai pasukan yang bertenaga dan penuh dedikasi di mana Being Bruneian at Heart, mereka mampu untuk berkhidmat sepenuh jiwa untuk mencapai kedudukan pasaran yang kukuh dan kestabilan kewangan yang dikenali antarabangsa.

Keupayaan bank itu untuk mengekalkan rating golbal S&P A- (stabil) sejak 2015 menunjukkan kekukuhan dan kestabilan urus tadbir korporat, penilaian risiko dan pengurusan yang menggunakan amalan terbaik antarabangsa.

Mubashar berkata bahawa urus tadbir yang kuat dan proses serta dasar pengurusan risiko yang kukuh telah membolehkan mereka untuk mengoptimumkan pulangan kepada pelanggan dan pihak-pihak yang berkepentingan serta pada masa yang sama memastikan bahawa kualiti aset mereka terus kuat.

Semasa mesyuarat berkenaan, pemegang-pemegang saham telah meluluskan penyata kewangan bagi tahun yang berakhir pada 2018 dan BIBD terus menunjukkan komitmen kepada pemegang saham dengan mengisytiharkan dividen 12.17 sen atau $0.1217.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahli Lembaga dan Badan Penasihat Syariah BIBD, pengurusan kanan BIBD serta pegawai-pegawai BIBD.