BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Sebagai usahanya untuk menyumbang kepada masyarakat di negara ini, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah meneruskan aktiviti Sirah Amalnya ke Daerah Temburong, baru-baru ini.
Aktiviti amal ke daerah itu adalah bagi menghulurkan bantuan daripada warga BIBD termasuk sumbangan yang didermakan oleh Pasar raya Sim Kim Huat yang menjadi rakan kongsi kemasyarakatan kepada keluarga yang memerlukan di keempat-empat daerah.
Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dalam kenyataan yang diterima hari ini, menyatakan rasa syukur di atas sokongan para kakitangan BIBD dan orang ramai di negara ini kerana BIBD dapat meneruskan lagi tradisi Sirah Amal tahunannya dengan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Tambahnya lagi, sebagai seorang warga korporat yang bertanggungjawab, menyokong masyarakat itu adalah salah satu tonggak penting dalam tanggungjawab sosial korporat BIBD, sekali gus meletakkan aktiviti Sirah Amal itu dekat di hati semua orang di BIBD.

