BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Dalam komitmennya untuk meningkatkan kesedaran kepada produk dan perkhidmatannya, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) meneruskan lagi siri ke-3 Jerayawara ‘Digital, Coffee, And You’ di Cawangan Manggis bermula hari ini hingga 22 April.
BIBD dalam kenyataannya di sini hari ini, menyatakan bahawa pada setiap perhentian jerayawara berkenaan, mereka mempromosikan pemahaman dan manfaat perkhidmatan-perkhidmatan, keupayaan dan kemudahan perbankan digitalnya.
Menurut kenyataan itu lagi, BIBD bermatlamat untuk menyokong aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara pintar dengan menggalakkan penggunaan transaksi digital, yang pada masa yang sama mengurangkan keperluan bagi pembayaran tunai.
Pada masa yang sama, inisiatif ini selaras dengan komitmen BIBD untuk secara progresif menyediakan pelanggannya dengan penyelesaian-penyelesaian perbankan terbaik dalam kelasnya.
Siri jerayawara berkenaan akan berakhir pada 27 April di perhentian terakhirnya di mana ia akan diadakan selama tiga hari di Cawangan Serusop.

Sebagai sebahagian daripada jerayawara berkenaan, BIBD juga menyediakan hadiah-hadiah, diskaun ke atas bayaran pemprosesan dan juga secawan kopi percuma bagi permohonan Pembiayaan Peribadi, Pembiayaan Rumah, Skim Pembiayaan Penggabungan dan pendaftaran BIBD Mobile dan vCard.
Dengan bulan Ramadan dan musim perayaan bakal menjelang, BIBD berharap para pelanggannya akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan promosi-promosi mereka.
Selaras dengan tema jerayawara dan untuk membantu menyokong perniagaan-perniagaan tempatan, BIBD juga mempromosikan vendor-vendor tempatan pada setiap siri jerayawara berkenaan. Inisiatif berkenaan akan membantu mempamerkan perniagaan-perniagaan mereka kepada pelanggan dan orang awam pada amnya serta diharap akan mengembangkan perniagaan mereka pada masa akan datang.