BIBD Wave pertama di Brunei diperkenalkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bagi mempamerkan hasrat untuk mengubah perbankan tradisional kepada era teknologi kewangan dan mempromosikan perkongsian strategik di kalangan industri berbeza tanpa sempadan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah memperkenalkan BIBD Wave bagi memudahkan pengguna membuat pembayaran.

Melalui perkhidmatan pembayaran komunikasi jarak dekat (NFC) BIBD Wave, pengguna boleh menyimpan maklumat debit atau kad maya dan membuat pembayaran melalui telefon bimbit di mana-mana terminal kad mesra NFC, baik di dalam dan di luar negara tanpa perlu menggunakan kad secara fizikal.

Melalui aplikasi BIBD NEXGEN Mobile untuk peranti mudah alih Android, para pelanggan hanya perlu menekan atau memegang telefon pintar mesra NFC dan memasukkan PIN untuk menyelesaikan transaksi.

Ketua Perbankan Runcit, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar berkata, “Kami mahukan lebih ramai pengguna dan perniagaan membuat transaksi digital. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan BIBD untuk menjadi penyedia penyelesaian pembayaran digital terkemuka di Brunei.

“BIBD Wave menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan dan peniaga, di mana anda boleh meninggalkan dompet anda dan hanya menggunakan telefon bimbit untuk membeli barangan runcit anda atau lain-lain,” tambah beliau.

NFC yang biasanya didayakan melalui elemen cip yang selamat kini menjadi standard dalam telefon pintar terkini Android. Kira-kira 65 peratus pengguna mudah alih BIBD berada di platform Android dengan bakinya menggunakan iOS Apple.

Dengan iPhone baharu mesra NFC, BIBD dalam mengetuai inisiatif ini berharap dapat melibatkan Apple untuk membolehkan pembayaran NFC melalui Apple Pay atau pilihan serupa untuk pengguna iPhone di negara ini dan akan meneroka kerjasama dengan dompet atau penyelesaian pembayaran maya yang lain pada masa akan datang.

BIBD telah menguji program ini selama tiga bulan yang lalu dan yakin ia sedia untuk digunakan secara meluas oleh para pelanggan. Kini terdapat lebih daripada 1,500 terminal kad NFC yang ada di Brunei dan angka ini dijangka akan terus berkembang.

Ketua Perkhidmatan Pedagang BIBD, Law Siew Vui berkata bahawa para pedagang boleh meminta untuk mengganti terminal sedia ada kepada terminal mesra NFC tanpa bayaran tambahan. Pelancaran ini merupakan sebahagian daripada usaha BIBD untuk menyokong pengurangan pembayaran ekonomi tunai dengan transaksi yang lancar setelah memperkenalkan kemudahan digital seperti BIBD QuickPay, BIBD vCard serta kaedah pembayaran tanpa sentuh lain di bawah platform BIBD NEXGEN.