BIBD YES! berakhir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Sidang Kemuncak Pemerkasaan Belia Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD YES!) 2021 yang berlangsung selama tiga minggu dengan penyertaan lebih 700 belia telah berakhir semalam dengan majlis penutup secara maya.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin
dalam ucapan penutup antara lain berkata, belia Brunei membawa kreativiti dan semangat baharu untuk mencapai yang terbaik bagi Brunei Darussalam.

“Disebabkan awda, kita semua optimis untuk melihat masa depan, terutamanya ketika kita berusaha untuk pulih lebih baik dan lebih kuat daripada COVID-19,” katanya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga berkongsi mengenai tiga refleksi utama yang diringkaskan sebagai ‘3 E’.

Pertama, Excel menunjukkan bahawa walaupun berhadapan dengan cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya, belia negara ini tidak berdiam diri tetapi memilih untuk berjaya dalam banyak aktiviti amal demi kebaikan semua.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan ucapan pada majlis penutup secara dalam talian itu. – Gambar serahan BIBD

Beliau memberi contoh, sejak gelombang pertama COVID-19, lebih 7,000 individu daripada pelbagai latar belakang telah mendaftar sebagai sukarelawan untuk membantu kerajaan memerangi penularan wabak.

Refleksi kedua Evolve, adalah berdasarkan tindakan oleh jumlah tinggi belia yang menyokong dan mengembangkan budaya memberi kembali dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dan berkembang ke arah perubahan situasi.

Akhir sekali, Engage pula mengenai penglibatan dalam impak sosial adalah tentang memaksimumkan platform semasa.

Menurut BIBD, bank berkenaan mengambil peranan utama sebagai penaja acara untuk tahun ini dalam usaha untuk membantu membangunkan pemimpin masa depan yang berdaya tahan, bersama TotalEnergies EP (Brunei) B.V selaku penaja double platinum; Brunei Gas Carrier, Brunei LNG, Perkhidmatan Alam Sekitar CIC, Insurans Islam Taib dan Progresif selaku penaja platinum; Jerudong Park Medical Centre selaku penaja emas serta Teck Guan Holdings dan McDonald’s Brunei selaku penaja perak.

Melalui sidang kemuncak itu, BIBD mempamerkan komitmen dalam tanggungjawab sosial korporatnya dan kepercayaan dalam pendidikan dan pemerkasaan belia sebagai aspek penting bagi pembangunan negara.

Ini merupakan tahun ketiga Curious Mind menganjurkan acara itu dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan.

Acara kemuncak majlis penutup termasuk dialog bertajuk ‘Belia untuk Tindakan Iklim’ antara ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari juga selaku pengasas bersama Green Brunei dan Ketua Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Dayang Dina Yahya. Peserta lain ialah Rumaitha Al Busaidi, penyokong perubahan iklim dari Oman.