Oleh Yusrin Junaidi
BELAIT, 11 OKT – Bagi memberigakan lagi mengenai Dana Franklin Templeton yang baru diperkenalkannya, BIBD Securities Sdn Bhd (BIBDS) telah mengadakan acara pelanggan di Daerah Belait, kelmarin, susulan kejayaan acara yang diadakan di The Empire Brunei, baru-baru ini.
Acara yang diadakan di Hotel V-Plaza itu telah dihadiri oleh lebih 100 pengusaha yang berpangkalan di daerah ini, yang hadir untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dana yang baru diperkenalkan itu.
Acara didahului dengan ucapan alu-aluan Pengarah Urusan BIBDS, Haji Muhammad Yazid bin Dato Paduka Haji Mahadi yang antara lain menyatakan bahawa acara berkenaan memberi kesedaran yang lebih meluas mengenai manfaat pelaburan jangka panjang.
Menurut beliau, Dana Franklin Global Sukuk adalah yang pertama sejenisnya yang diperkenalkan di pasaran ini dan salah satu ciri utamanya adalah pendapatan dividen bulanan bagi pelabur, pada masa yang sama memberikan akses untuk mempelbagaikan portfolio sekuriti sukuk bertaraf tinggi yang dikeluarkan oleh kerajaan, entiti berkaitan kerajaan dan entiti korporat di seluruh dunia.
Pada acara itu, para pengusaha yang hadir juga secara aktif menyuarakan pandangan mereka menerusi tinjauan yang membantu merencanakan acara, dengan soalan-soalan yang dibangkitkan telah dijawab oleh ahli-ahli panel yang hadir.
Ahli panel termasuk Pengurus Perhubungan BIBDS, Abegail Lo yang membentangkan mengenai pengenalan kepada perancangan kewangan Islam dan Ketua Pegawai Pelaburan Global Sukuk dan pendapatan tetap Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) di Franklin Templeton Investments, Mohieddine (Dino) Kronfol yang berkongsi pandangan pasaran dan pengenalan kepada Dana Franklin Global Sukuk.