Bicara cinta atau harta dalam Sayang Papa Saya Tak

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

DIARAHKAN oleh Amie Maziah di bawah terbitan Suhan Movies & Trading, Sayang Papa Saya Tak adalah sebuah drama terbaru yang diadaptasi daripada judul yang sama karya Hanni Ramsul.

Ia menggandingkan Hisyam Hamid dan Emma Maembong sebagai teraju utama. Di samping itu, ia turut dibantu oleh pelakon-pelakon lain seperti Seri Aileen, Aida Khalida, Wan Sharmila, Luqman Hafidz, Eleena Sui, Haleeda Mazlin, Fahad Iman dan Sweet Farhanna Qismina.

Siri drama tersebut mengisahkan mengenai Raisya lakonan Emma Maembong, gadis muda yang spontan, selamba dan mata duitan.

Raisya yang enggan menyambung pelajaran, nekad melarikan diri dari rumah anak yatim yang dihuni dan mula bekerja sebagai pengasuh anak damit di rumah keluarga Farish lakonan Hisyam Hamid.

Pengalaman dibesarkan di Rumah Asuhan Budi menjadikannya cekap dalam menguruskan Qalish lakonan Seri Aileen, anak Farish yang dijaganya. Kecekapan dan keikhlasan Raisya menjaga Qalish menyentuh hati tua ibu Farish, Puan Rogayah lakonan Aida Khalida lantas diaturkan supaya Farish mengahwini Raisya.

Siri drama Sayang Papa Saya Tak dibintangi oleh Hisyam Hamid dan Emma Maembong.
Siri drama Sayang Papa Saya Tak dibintangi oleh Hisyam Hamid dan Emma Maembong.

Farish yang murung sejak kematian bekas isterinya Kasih lakonan Izara Aishah, telah didesak oleh ibunya untuk mengahwini Raisya demi masa depan Qalish.

Raisya pula bersetuju berkahwin dengan imbuhan RM100,000. Dicap sebagai mata duitan oleh suami sendiri tidak berbekas di hati Raisya kerana yang lebih penting adalah sumbangannya kepada Rumah Asuhan Budi.

Mereka berkahwin dan mula mencipta kisah yang penuh warna-warni dalam rumah tangga mereka.

Saling mengenali satu sama lain, Raisya memberi impak positif untuk dia bangkit semula. Perlahan-lahan dia mula jatuh cinta untuk kali kedua, memberi ruang untuk Raisya bagi menyesuaikan diri sebagai seorang isteri.

Namun emosi Raisya terdera dengan kehadiran Azyan lakonan Wan Sharmila, kawan baik arwah Kasih dan juga Aleeya lakonan Eleena Sui, bakal tunang Fakhrul, adik kembar Farish yang turut meninggal dunia bersama Kasih.

Justeru, bagi mengetahui kesudahan kisah di antara seorang gadis materialistik dan seorang duda muda beranak satu itu serta untuk mengetahui sama ada kecomelan anak damit itu boleh menjadi pengikat kasih cinta sejati di antara Raisya dan Farish jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Sayang Papa Saya Tak yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam di Astro Ria saluran 104 dan Astro Ria HD saluran 123 bermula pada 9 Januari 2016.