Bicara di ICC: Duterte rela mati

MANILA, 16 SEPT – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte lebih rela ‘mati dahulu’ daripada dihadapkan ke tribunal antarabangsa, kata jurucakapnya hari ini, sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan ia akan menyiasat dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan semasa kempen perang dadah berdarah.

Jurucakap Duterte, Harry Roque mengatakan presiden tidak tergugat apabila dia memaklumkan kepadanya lewat semalam mengenai keputusan mahkamah itu.

“Presiden tidak memberikan sebarang reaksi kerana dari awal lagi, beliau sudah mengatakan bahawa dia akan mati dahulu sebelum diheret ke mana-mana mahkamah antarabangsa,” Roque memberitahu wartawan.

“Jika ada sebarang aduan, mereka sepatutnya memfailkannya di sini di Filipina,” tambahnya.

Mahkamah kelmarin mengatakan ia sudah meluluskan satu penyiasatan diminta oleh bekas pendakwa raya Fatou Bensouda mengenai kempen antidadah Duterte, mengatakan ia ‘tidak boleh dilihat sebagai operasi penguatkuasaan undang-undang sah.’

Lebih daripada 6,000 kebanyakannya suspek dadah miskin dibunuh semasa kempen itu, menurut perkiraan kerajaan, namun kumpulan hak asasi manusia mengatakan angka kematian itu adalah lebih tinggi dan sepatutnya termasuk pembunuhan misteri

oleh lelaki bersenjata menunggang motosikal yang mungkin dikerahkan polis.

Duterte yang disokong ramai atas kempen dan pembunuhan itu serta menafikan pembunuhan luar bidang kehakiman ke atas suspek-suspek dadah, pada dasar perlembagaan negara dilarang daripada bertanding jawatan presiden sekali lagi pada pilihan raya tahun depan. Sebaliknya, beliau telah mengumumkan akan bertanding sebagai naib presiden, dalam taktik yang menurut pengkritik adalah satu cubaan untuk mengekalkan kuasa dan meloloskan dirinya daripada siasatan ICC, yang sudah dijangkakan. – AP

Gambar fail Presiden Rodrigo Duterte semasa menjawab soalan daripada media utama di Manila. – AFP