Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BICPA rai ulang tahun ke-30

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhannya, Institut Akauntan Awam Bertauliah Brunei Darussalam (BICPA) telah mengadakan majlis makan malam di Restoran Tarindak d’Polo, Royal Brunei Polo & Riding Club, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) Dr. Teo Siew Yean, presiden Persekutuan Akauntan ASEAN, presiden dan wakil-wakil daripada 10 buah badan perakaunan negara ASEAN, ketua perwakilan, wakil-wakil dari ACCA, Yayasan IFRS dan Bank Dunia.

    Pemangku Presiden BICPA, Lee Kin Chee dalam ucapan alu-aluannya telah menjelaskan bahawa sejak 30 tahun yang lepas, dalam bidang pendidikan, mereka secara aktif telah terlibat dalam pameran bergerak di sekolah-sekolah dan pameran kerjaya dalam mewujudkan kesedaran dan mempromosikan kepentingan yang ada dalam pendidikan perakaunan.

    “Kami telah menjalankan kursus-kursus yang berkaitan perakaunan dan seminar ‘Continue Professional Education and Development’ untuk pelajar, ahli dan orang ramai melalui akademi kami dan melalui usaha sama dan kerjasama syarikat-syarikat bersekutu, institusi pendidikan dan badan-badan perakaunan kebangsaan negara-negara,” jelas Lee Kin Chee.

    Gambar ramai antara pihak UBDSBE, ACCA, BICPA dan tetamu kehormat majlis.
    Gambar ramai antara pihak UBDSBE, ACCA, BICPA dan tetamu kehormat majlis.

    Mengenai tanggungjawab korporat, tambah beliau, mereka telah menubuhkan tabung pendidikan untuk pelajar yang dalam kesusahan dan ingin melanjutkan pendidikan dalam bidang perakaunan.

    Lee Kin Chee juga mengumumkan bahawa BICPA, pada tahun ini, akan bekerjasama dengan Bahagian Koperasi dan Kotej (CIC), di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, untuk menjalankan klinik kewangan dan kaunseling yang tetap bagi ahli-ahli koperasi, memaklumkan kepada mereka tentang perkara-perkara berkaitan kewangan dan perakaunan.

    Majlis berkenaan juga menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBDSBE) dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk menandakan kerjasama dalam pembangunan keupayaan dan mempromosikan kelayakan dalam profesional perakaunan.

    Menandatangani bagi pihak UBDSBE ialah dekannya, Profesor Ahmed Khalid, manakala ACCA diwakili oleh Pengarah Asia Pasifik, ACCA, Leong Soo Yee.

    MoU tersebut bertujuan untuk menggalakkan pembangunan mapan profesion perakaunan di Brunei dengan menggalakkan pelajar berbakat UBD untuk memasuki profesion berkenaan, dengan menyediakan laluan disesuaikan untuk belajar bagi kelayakan profesional ACCA.

    Menghubungkan kedua-dua institusi itu juga bertujuan untuk menggalakkan standard tinggi profesionalisme dan etika dalam profesion perakaunan, seperti melalui modul ACCA bertauliah ditawarkan di UBD.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada penerima Program Siswazah Perintis iaitu kerjasama antara BICPA dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) yang menempatkan siswazah-siswazah yang menganggur dengan syarikat-syarikat swasta atau organisasi dalam peranan yang berkaitan dengan perakaunan.

    Graduan Skim Perintis Sijil ‘Accounting Technicians’, satu skim yang meletakkan pelajar dari Akademi BICPA dengan firma-firma perakaunan bagi penempatan pekerjaan, juga menerima sijil masing-masing di majlis berkenaan.

    Kedua-dua skim telah dijalankan sebagai inisiatif untuk melengkapkan graduan tanpa latar belakang perakaunan atau pendidikan rendah perakaunan untuk mengikuti kursus dalam bidang perakaunan agar mereka dapat meningkatkan peluang mereka mencari kerja yang membantu ke arah mengurangkan isu-isu pengangguran di Brunei.

    BICPA, yang disokong oleh UBDSBE, juga akan menjadi tuan rumah dalam Forum Perakaunan Negara mengenai ‘Isu Baru dan Cabaran untuk Akauntan dan PKS’ yang bakal diadakan esok (6 Mei 2017) di Hotel Antarabangsa Rizqun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda