Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Pertandingan Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2023 telah mencatatkan penyertaan tertinggi setakat ini dengan 92 penyertaan iaitu peningkatan sebanyak 82 peratus jika dibandingkan BICTA 2022.
Perkembangan yang menggalakkan ini menggambarkan pendekatan seluruh negara, dengan peranan dan sokongan daripada semua pihak berkepentingan untuk memanfaatkan potensi transformasi digital.
Perkara itu dikongsikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023 pada Majlis BICTA 2023 dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pada tahun ini, pertandingan bertema ‘Negara Pintar Melalui Transformasi Digital’ telah mempertandingkan 10 kategori yang terdiri daripada Kategori Utama, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Pengajian Tinggi, Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian, dan Awam dan Kerajaan, dan tiga Kategori Silang, iaitu Pemula (Start-Up), Penyelidikan dan Perkembangan, dan Teknologi.
Ir Haji Mohammad Nazri turut menyatakan bahawa penambahan kategori baharu pada tahun ini juga dinilai sedikit sebanyak menggalakkan penyertaan BICTA yang lebih inovatif, kreatif dan berdaya saing.
“Dengan penambahan kategori ini juga, jumlah hakim yang terdiri daripada wakil-wakil pihak kerajaan, sektor swasta, pakar-pakar dalam industri serta akademia juga turut bertambah,” tambah beliau.
Dengan kepakaran dan pengalaman masing-masing, penilaian ke atas penyertaan yang diterima dijalankan berpandukan piawaian dan garis pandu penghakiman Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA).
“Sebagai sebuah komponen di bawah APICTA, seperti lazimnya pemenang dan peserta BICTA yang terpilih berpeluang mewakili Negara Brunei Darussalam ke pertandingan peringkat antarabangsa yang diadakan dalam kalangan 16 ahli ekonomi APICTA,” jelasnya.
BICTA 2023 turut mengetengahkan Anugerah Negara Pintar yang khusus bagi penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan, tetapi telah memenuhi ciri-ciri aspirasi ‘Negara Pintar Melalui Transformasi Digital’ dalam lima sektor tertentu iaitu pelancongan, pertanian, pembinaan, logistik dan pengangkutan, serya pendidikan.
Majlis BICTA 2023 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Saufi bin Haji Suhaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyampaikan penghargaan kepada 41 panel hakim BICTA 2023.
Beliau kemudian meneruskan lawatan ke pameran produk-produk para pemenang dan penerima merit BICTA 2023.
Turut hadir ialah Pengerusi Persekutuan InfoCom Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2023.