BICTA perkasa inovasi belia

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) telah berkenan berangkat dan seterusnya menyempurnakan penganugerahan hadiah pada Majlis BICTA 2018 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Timbalan Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian selaku Pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AiTi), Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2018, Haji Azhar bin Haji Ahmad dan Pengerusi Infocom Federation of Brunei (IFB) selaku Pengerusi Bersama II, Sheikh Haji Abbas bin Sheikh Mohamad.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, tahun ini BICTA dapat dilaksanakan atas kerjasama padu antara Kementerian Perhubungan, AiTi dan IFB.

Beliau menambah, BICTA 2018 tahun ini bertemakan ‘Generasi Digital Berwawasan’ dan mempertandingkan tiga kategori iaitu Kategori Industri ICT, Kategori Projek Pengajian Tinggi dan Kategori Projek Sekolah. Dengan kategori yang dibukakan ini, BICTA 2018 terus mendapat sambutan yang positif.

“Pada tahun ini, hampir 50 peratus daripada penyertaan yang diterima adalah untuk Kategori Projek Pengajian Tinggi yang banyak mengetengahkan penglibatan daripada kalangan belia,” jelasnya.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan Anugerah Penaung Diraja bagi BICTA kepada Mindplus Sdn Bhd.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menganugerahkan hadiah dan sijil kepada pemenang Anugerah Khas IOT dari Universiti Brunei Darussalam.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai pada Majlis BICTA 2018 di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. – Gambar Infofoto

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.

Penyertaan yang konsisten ini, jelas beliau, menunjukkan semangat para belia pada menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-13 pada tahun ini untuk menggalakkan para belia lebih kreatif lagi memperkasa diri masing-masing.

Yang Berhormat Dato kemudian menyembahkan, dengan objektif untuk menggalakkan inovasi dan sebagai penanda aras pada perkembangan produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, BICTA adalah landasan yang bertepatan bagi penggiat industri dan pelajar untuk memperkembangkan hasil daya cipta, kreativiti dan inovasi.

“Selaras dengan objektif ini, pemenang tempat pertama dan kedua bagi Kategori Industri ICT dan Projek Pengajian Tinggi akan menerima hadiah wang tunai dalam bentuk ‘grant’ yang bertujuan untuk memajukan produk yang dihasilkan.

“Manakala itu, bagi pemenang kategori yang lain, akan menerima hadiah trofi, sijil dan wang tunai. Pemenang BICTA juga berpeluang untuk mewakili negara ke Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) yang akan diadakan di Guangzhou, Republik Rakyat China pada Oktober depan,” tambah beliau lagi.

Beliau turut menyembahkan bahawa berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, BICTA 2018 memperkenalkan elemen baharu iaitu BICTA Plus.

Melalui beberapa sesi bengkel dan seminar, peserta BICTA yang terpilih dibimbing untuk lebih memantapkan persediaan dalam menghadapi persaingan di peringkat seterusnya.

Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan tayangan video ‘Catatan Perjalanan BICTA 2018’ sebelum berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada para pemenang mengikut kategori masing-masing dan pengurniaan Anugerah Penaung Diraja.

Anugerah Penaung Diraja bagi BICTA tahun ini dimenangi oleh Mindplus Sdn Bhd dengan produk Mindtrex dan Mindplus Sdn Bhd juga telah menjadi juara bagi Kategori ICT Industri.

Manakala itu, mendapat tempat kedua bagi kategori tersebut ialah Techbru Solution (B) Sdn Bhd dengan produk WasapPay dan tempat ketiga dimenangi oleh Rotuku Sdn Bhd dengan produk Rotoku.com.

Juara bagi Kategori Projek Pengajian Tinggi pula adalah daripada Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan produk Mechsim diikuti oleh Droplets dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) di tempat kedua dan UTB dengan produk Gobacker di tempat ketiga.

Kategori Projek Sekolah pula dijuarai oleh Sekolah St John, Kuala Belait dengan produk aplikasi Hope Mental Health, manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah Chung Ching, Seria dengan produk aplikasi Brulife dan Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait di tempat ketiga dengan produk Instant Health Aid (IHA).

Duli Yang Teramat Mulia kemudian juga berkenan menyempurnakan penganugerahan hadiah bagi Anugerah Khas kepada produk Smartfarm bagi Anugerah Research & Development Project; produk aplikasi Droplet bagi Anugerah Internet of Things Technology dan produk aplikasi Aqli bagi Anugerah Start Up.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan pameran BICTA 2018.