LAUSANNE, 3 Jun – Bidaan Maghribi bagi Piala Dunia 2026 telah diberikan lampu hijau untuk diteruskan bagi menerima undian menentang bidaan daripada Amerika Utara, meskipun satu laporan penilaian FIFA, yang mengklasifikasikan bidaan Maghribi itu sebagai ‘berisiko tinggi’.
Laporan daripada pemeriksa FIFA yang dinanti-nantikan menunjukkan bidaan Amerika Syarikat (AS)-Kanada-Mexico sebagai calon utama selepas memberikan perkadaran empat daripada lima berdasarkan kriterianya.
Maghribi hanya menerima 2.7 daripada lima, namun diteruskan bagi undian 13 Jun di Moscow meskipun bendera merah diberikan ke atas beberapa kompenan penting bidaan.
Satu hasil dapatan daripada kesimpulan Pasukan Penilaian Bidaan FIFA menunjukkan amaran bagi ‘jumlah infrastruktur baharu yang diperlukan Maghribi bagi bidaan 2026 menjadi realiti tidak boleh diambil ringan’.

“Pasukan Penilaian Bidaan menganggap tugasnya untuk menekankan risiko keseluruhan bagi bidaan, yang mana banyak kemudahan (seperti stadium, pusat latihan hingga projek infrastruktur pengangkutan dan tempat tinggal) yang perlu dibina atau diubsuai sepenuhnya,” menurut laporan itu.
Sebanyak 17 daripada 20 kategori telah diberikan ‘risiko rendah’ bagi bidaan Amerika Utara oleh FIFA dalam laporan itu. Manakala hanya tujuh kategori ditandakan ‘risiko rendah’ bagi Maghribi, di mana selebihnya diklasifikasikan risiko sederhana atau tinggi. – AFP