Bidang kulinari, bukan sekadar masakan

Oleh Nurdiyanah R.

Kredibiliti golongan belia tanah air dalam meniti dunia kulinari tidak dapat disangkal lagi bahkan mereka semakin terus mengorak langkah dan berani mengharungi pentas industri gastronomi tanah air demi mengharumkan nama negara yang dicintai.

“Meski cabaran begitu terasa dalam diri kami, namun itulah pencetus semangat juang kami dalam mewarnai pentas pertandingan dunia kulinari yang berprestij ini bersama peserta yang bukan sahaja terdiri daripada cef-cef tempatan malah luar negara,” kata salah seorang belia tanah air, Dayang Nadiatul Athirah binti Rosman, selaku wakil pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Sultan Saiful Rijal dalam menyertai BIMP-EAGA Culinary Challenge, Kejohanan Kulinari Halal Dunia 2019, semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Menampilkan pelbagai hidangan istimewa

Semasa berlangsungnya kejohanan kulinari yang turut disertai oleh beberapa buah negara ahli BIMP-EAGA iaitu Malaysia, Indonesia, Singapore, Filipina dan Thailand itu, seramai lapan orang pelajar IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal daripada jurusan NTec in Apprenticeship Professional Cookery and Services dan HNTec in Hospitality Operations telah turut serta dalam sama-sama menerokai pertandingan dalam seni kulinari berkenaan.

Dalam pada itu, Dayang Nadiatul juga menyatakan mereka telah mengetengahkan menu hidangan istimewa antaranya udang dengan salsa buah dan sayur dilapisi udang goreng sebagai hidangan pembuka selera.

Manakala ayam Roulade dengan sos lada hitam dan bebiri dengan sos digabungkan dengan sayur campur pula adalah untuk hidangan utama. Menu bagi penyuci mulut pula diberi nama ‘Cakesicles’ dan ‘Choux Pastry dengan inti kastad blueberi.

Lapan orang pelajar IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal dari jurusan NTec in Apprenticeship Professional Cookery and Services dan HNTec in Hospitality Operations telah turut serta dalam sama-sama menerokai pertandingan seni kulinari berkenaan.
Semangat juang jelas tergambar pada wajah pelajar IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal semasa menyertai kejohanan kulinari berkenaan.
Dayang Nadiatul (kiri) dan Dayang Mawaddatuw semasa ditemui penulis.
ATAS & BAWAH : Antara hidangan istimewa yang diketengahkan oleh para IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal semasa menyertai BIMP EAGA Culinary Challenge, Kejohanan Kulinari Halal Dunia 2019.

“Pengalaman yang begitu berharga, itulah yang hanya mampu saya ungkapkan. Ia sememangnya salah satu platform persediaan untuk kami semua dalam mengikuti pertandingan pada masa akan datang,” tambahnya yang merupakan salah seorang pelajar yang jurusan NTec in Apprenticeship Professional Cookery and Services dengan penuh keyakinan.

Pencetus semangat juang

Manakala semasa ditemui, Dayang Mawaddatuw Warahmah bte Abdullah juga selaku peserta yang mewakili IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal semasa kejohanan kulinari itu begitu teruja mengungkapkan bahawa penyertaan mereka ini sememangnya bagaikan pencetus semangat juang bukan sahaja untuk membawa nama IBTE sekali gus negara yang kita cintai ini.

“Berkongsi ilmu pengetahuan sesama cef-cef bukan sahaja cef tanah air bahkan juga luar negara, di samping berkongsi pengalaman dalam meniti liku-liku dunia kulinari umpama plating decoration, itulah detik-detik terindah yang kami perolehi sebagai insan yang bakal menempah nama sebagai cef tanah air, In shaa Allah,” ujarnya beliau yang juga bakal menyertai ASEAN Skill Competition di Singapore pada tahun depan bersama Dayang Nadiatul dengan penuh kesyukuran.

Bidang yang mencabar

Dengan adanya penglibatan para belia dan sekali gus pelajar ini ia sememangnya bermatlamat untuk membuka peluang atau ruang untuk mereka menonjolkan kemahiran dan bakat diri dalam bidang seni kulinari dari semasa ke semasa meliputi teknik penyediaan dan hiasan makanan.

Menurut Ketua Sekolah, School of Hospitality & Tourism, IBTE berkenaan, Awang Mohamad Kamarul Izzudin Haji Kamaluddin, seni kulinari ini bukanlah hanya sekadar menjurus kepada bidang memasak semata-mata bahkan hakikatnya ia merupakan salah satu bidang yang begitu mencabar dan layak diberikan pengiktirafan dan keistimewaan seperti bidang-bidang lain.

“Diharap dengan adanya penglibatan mereka ini dalam kejohanan sebegini, mereka dapat membuka minda dan semakin giat dalam mengasah kemahiran yang sedia ada, di samping berkongsi pandangan bersama para peserta yang lain.

“Mereka juga diharap sentiasa komited dan menanamkan sikap kerjasama secara berkumpulan serta menyemai sikap tanggungjawab dalam diri demi menjadi insan-insan yang mampu mengharumkan bukan sahaja nama sekolah bahkan juga negara di mata dunia.

“Namun ia bukan sahaja untuk meraih kemenangan namun penerokaan ilmu pengetahuan sepanjang hayat itulah yang kami harapkan sehingga mereka mampu menjadi insan yang mampu berdikari dan berjuang seperti seorang usahawan kulinari berbekalkan ilmu dan pengalaman yang mereka miliki selama ini,” ujarnya penuh harapan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.