Bidang perkapalan gamit wanita redah ombak

SHAH ALAM – Kerjaya dalam bidang perkapalan lazimnya lebih sinonim dengan kaum lelaki kerana, antara lain, persekitaran tempat kerja yang amat mencabar, menguji mental serta fizikal seseorang.

Justeru, tidak menghairankan jika statistik Kementerian Pengangkutan pada 2019 merekodkan hanya 72 wanita Malaysia berkecimpung dalam bidang itu, atau satu peratus daripada 7,226 pelaut tempatan.

Menjengah ke dalam komuniti pelaut wanita, rata-rata menyatakan penglibatan mereka dalam bidang itu pada awalnya adalah secara ‘tidak sengaja’ kerana tidak ada pilihan lain. Namun, ibarat peribahasa alah bisa tegal biasa, mereka kini betah dengan kehidupan di laut, malah mengalu-alukan lebih ramai kaum hawa mengikuti jejak langkah mereka.

“Berilah pendedahan tentang kerjaya ini kepada lebih ramai wanita, kerana kami sendiri tidak tahu mengenai bidang ini sehinggalah Akademi Laut Malaysia (ALAM) menganjurkan pameran peluang pengajian dengan mereka,” demikian kata beberapa pelaut wanita yang dihubungi Bernama.  

Menurut mereka, selain gaji lumayan lima angka, pelaut yang rata-rata bekerja secara bebas atau freelance, turut berpeluang memajukan kerjaya dengan mengumpul pengalaman di pelbagai syarikat perkapalan asing yang menguasai perairan antarabangsa. 

Nur Akma Noor Mohamad bersama rakan setugas. – Bernama
Nur Akma Noor Mohamad, beliau mempunyai sebab tersendiri untuk berasa bangga bergelar pelaut – menjadi wanita pertama di Malaysia bergelar Ketua Jurutera Kapal. – Bernama

Peluang kenali dunia

Bagi alumni ALAM, Nur Akma Noor Mohamad, 31, beliau mempunyai sebab tersendiri untuk berasa bangga bergelar pelaut – menjadi wanita pertama di Malaysia bergelar Ketua Jurutera Kapal.

Mengetuai sekumpulan enam hingga lapan jurutera, beliau yang memikul tanggungjawab itu sejak April lepas, berkata tugasnya memastikan pelayaran yang lancar dan kapal selamat tiba di destinasi.

Mengimbas kembali sejarah pembabitannya dalam bidang itu, Nur Akma berkata beliau memang meminati bidang kejuruteraan, namun faktor kewangan mengehadkan peluangnya untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, sehinggalah ALAM tampil membuka peluang untuknya.

Ujarnya, ALAM membuka pintu kepada kadet wanita bermula 2006, menerusi pengajian Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Pengajian Nautika, masing-masing ditawarkan bersama biasiswa, dan bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal beliau tidak berlengah menyahut seruan ALAM.

Katanya, siapa sangka beliau yang mabuk laut kini telah bekerja dalam bidang itu selama lebih 10 tahun dan menjelajah hampir ke seluruh pelusuk dunia serta mengenali pelbagai budaya asing.

Cabaran di perairan

Berkongsi pengalamannya di laut, Nur Akma berkata pada awal kerjaya, beliau agak sukar menyesuaikan diri kerana rindukan keluarga, sedangkan kerja itu menuntutnya belayar hingga enam bulan lamanya yang turut bermakna ‘hidup sebumbung’ dengan 99 peratus kru lelaki di atas kapal di tengah-tengah lautan.  

Kini, semua itu tidak lagi menjadi isu buatnya kerana beliau bukan sahaja dapat mengatasi masalah mabuk laut, tetapi juga sudah mangli hampir setiap tahun menyambut Aidilfitri bersama-sama rakan setugas di laut.

Mengenai cabaran, wanita muda itu berkata beliau pernah berdepan detik cemas apabila satu daripada enjin kapal yang dalam pelayaran membawa muatan minyak mentah, terbakar ketika di perairan antarabangsa. Namun insiden itu dapat ditangani dengan baik, tanpa melibatkan sebarang kecederaan, katanya. Menurutnya, beliau juga pernah tercedera akibat terjatuh dari tangga selepas gagal mengimbangi badan ketika kapal dipukul ombak besar.

Peluang sama rata majukan kerjaya

Nur Fathin Shahirah Suhaimy, 28, pula berkata  kaum hawa tidak harus berasa gentar untuk merebut peluang kerjaya pelaut yang menjanjikan pendapatan lumayan serta peluang perkembangan karier yang sama rata.

“Tidak perlu berasa takut untuk bekerja bersama majoriti lelaki di atas kapal kerana kebajikan kita dilindungi, termasuk dasar yang melindungi hak wanita di atas kapal,” katanya yang bertugas sebagai Dynamic Positioning Officer (DPO) atau pegawai navigasi dengan sebuah syarikat perkapalan antarabangsa.

Menurut Nur Fathin Shahirah, beliau antara lapan wanita Malaysia yang mempunyai kelayakan dalam navigasi pelayaran, namun hanya enam sahaja yang masih aktif belayar. Seiring dengan gaji yang lumayan, tugas beliau ialah memastikan kapal di koordinasi yang tepat selain memantau cuaca dan keadaan laut yang boleh mempengaruhi pelayaran.

Beliau sudah enam tahun terlibat dalam bidang itu juga berpandangan kemampuan pelaut wanita Malaysia kini setanding dengan kelasi wanita di Barat yang lebih awal membabitkan diri dalam dunia perkapalan. – Bernama