WASHINGTON, 6 SEPT — Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah mencalonkan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Jacob Lew untuk berkhidmat sebagai duta AS ke Israel yang seterusnya, demikian diumumkan oleh Rumah Putih kelmarin.
Lew, yang berkhidmat sebagai ketua kakitangan Rumah Putih dan pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) semasa pentadbiran Obama, akan menggantikan Duta Besar Tom Nides, yang meninggalkan jawatan itu pada bulan Julai. Lew juga pernah berkhidmat sebagai pengarah OMB semasa pentadbiran Clinton, dan sebagai Timbalan Setiausaha Negara untuk pe-ngurusan dan sumber semasa pentadbiran Obama.
Jika Lew disahkan oleh Senat, beliau akan menjawat salah satu daripada Kedutaan AS yang paling berprofil tinggi, dengan pentadbiran Biden mendorong Israel dan Arab Saudi, dua kuasa terbesar di Timur Tengah tetapi saingan lama, untuk menormalkan hubungan mereka.
Usaha untuk mengukuhkan hubungan bersejarah itu datang selepas pentadbiran Trump membantu memudahkan ‘Perjanjian Abraham’, yang mengiktiraf hubungan antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi.
Perjanjian normalisasi dengan Arab Saudi, negara Arab yang paling berkuasa dan kaya, berpotensi mengubah landskap rantau ini dan meningkatkan kedudukan Israel dengan cara yang signifikan. Bagaimanapun, perjanjian itu adalah satu langkah yang berat kerana kerajaan Arab Saudi telah menyatakan bahawa ia tidak akan mengiktiraf Israel secara rasmi sebelum penyelesaian kepada konflik Israel-Palestin yang berlarutan selama beberapa dekad. – AP
