Biden kekal sekatan perjalanan Eropah, Brazil

WASHINGTON, 19 JAN – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menafikan penarikan semula sekatan perjalanan yang dikenakan susulan COVID-19 ke atas pelawat beberapa negara Eropah dan Brazil seperti diumumkan Donald Trump, semalam.

Sebaliknya, Setiausaha Akhbarnya Jen Psaki berkata pentadbiran Biden merancang untuk mengetatkan lagi langkah kesihatan awam bagi perjalanan antarabangsa untuk mengurangkan penyebaran wabak itu.

“Mengambil kira nasihat pasukan perubatan, pihak pentadbiran tidak berhasrat untuk menarik balik sekatan perjalanan ini pada 26 Januari.

“Dengan situasi pandemik yang semakin buruk dan lebih banyak jangkitan varian baharu muncul, ini bukanlah masanya untuk menghapuskan sekatan perjalanan antarabangsa,” katanya yang membuat kenyataan itu di Twitter, beberapa minit selepas Trump mengumumkan penarikan sekatan perjalanan terhadap Schengen Area, United Kingdom (UK), Ireland dan Brazil.

Bagaimanapun, Trump masih mengekalkan sekatan perjalanan ke atas China dan Iran.

Kedua-dua kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) mengumumkan bahawa semua penumpang udara kini wajib menjalani ujian saringan dengan keputusan negatif COVID-19 dikemukakan tiga hari sebelum mengadakan penerbangan. – AFP

Gambar fail bertarikh 27 Oktober 2020 menunjukkan Joe Biden bercakap di Mountain Top Inn & Resort di Warm Springs. – AP