Biden laksana semula larangan perjalanan AS

WASHINGTON, 25 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengenakan semula larangan perjalanan COVID-19 kepada warga bukan Amerika Syarikat (AS) yang pernah ke Britain, Brazil, Ireland dan beberapa negara Eropah.

Pegawai Rumah Putih semalam berkata Biden juga akan melanjutkan larangan untuk pengembara yang baru-baru ini ke Afrika Selatan susulan amaran terhadap varian baharu virus COVID-19 yang lebih mudah dijangkiti yang kini sudah dikesan di AS.

Minggu lalu, Presiden AS itu mengetatkan langkah pemakaian penutup mulut dan hidung dan mengarahkan mereka yang masuk AS dikuarantin susulan krisis COVID-19 yang semakin buruk di negara itu.

Biden juga berkata kes kematian akibat COVID-19 di AS dijangka meningkat kepada setengah juta orang pada bulan hadapan daripada 420,000 ketika ini, dan langkah drastik perlu dilaksanakan segera.

“Negara kita berada dalam tempoh kecemasan dan sudah tiba masanya kita lakukan sesuatu,” katanya minggu lalu.

Bekas Presiden Donald Trump pada hari terakhir di pejabat Rumah Putih, mengumumkan larangan terhadap pengembara yang tiba dari Eropah dan Brazil akan ditarik balik namun pentadbiran Biden menjelaskan ia akan dikenakan semula bermula esok.

Trump sebelum ini mengumumkan larangan perjalanan kepada pengembara bukan warga AS yang masuk dari China pada 31 Januari tahun lalu, bagi menghalang penyebaran wabak itu dan kemudiannya melanjutkan kepada negara Eropah pada 14 Mac lalu selepas pandemik itu bertambah buruk. – AFP

Presiden Joe Biden (kiri) meninggalkan gereja Holy Trinity di Georgetown di Washington DC pada 24 Januari. Biden akan mengenakan semula larangan perjalanan COVID-19 kepada rakyat yang pernah ke Britain, Brazil, Ireland dan beberapa negara Eropah. – AFP