WASHINGTON, 27 NOV – Pentadbiran Biden kelmarin melonggarkan beberapa sekatan minyak ke atas Venezuela dalam usaha menyokong rundingan yang baharu dimulakan semula antara kerajaan Presiden Nicolas Maduro dan pembangkangnya.
Jabatan Perbendaharaan membenarkan Chevron menyambung semula pengeluaran tenaga terhad di Venezuela selepas sekatan bertahun-tahun yang telah menyekat secara mendadak keuntungan minyak dan gas yang telah disalurkan kepada kerajaan Maduro.
Awal tahun ini Jabatan Perbendaharaan sekali lagi membenarkan Chevron yang berpangkalan di California dan syarikat AS yang lain untuk melakukan penyelenggaraan asas telaga yang dikendalikannya secara bersama dengan gergasi minyak milik kerajaan PDVSA. Di bawah dasar baharu itu, keuntungan daripada penjualan tenaga diarahkan untuk membayar hutang kepada Chevron, dan bukannya memberikan keuntungan kepada PDVSA.
Perbincangan antara kerajaan Maduro dan Platform Unity disambung semula di Bandaraya Mexico kelmarin selepas lebih setahun. Ia masih belum dapat dilihat sama ada mereka akan mengambil laluan berbeza daripada rundingan sebelum ini yang tidak membawa kelegaan kepada kebuntuan politik di negara berkenaan.
Pegawai kanan pentadbiran AS, memberi taklimat kepada pemberita mengenai tindakan AS di bawah syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata bahawa pelonggaran sekatan itu tidak berkaitan dengan usaha pentadbiran untuk meningkatkan pengeluaran tenaga global susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan keputusan itu tidak dijangka memberi kesan kepada harga tenaga global. – AP