Biden tamatkan sekatan perjalanan negara Islam

WASHINGTON, 21 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam menamatkan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas beberapa negara majoriti penduduknya Islam.

Pentadbiran baharu AS menyifatkan tindakan yang dikenakan oleh presiden sebelum ini sebagai ‘diskriminasi’.

Biden menandatangani pe-rintah eksekutif itu di Pejabat Oval setelah mengangkat sumpah sebagai presiden ke-46 negara itu, lapor agensi Anadolu.

Dalam perisytiharan itu, beliau berkata AS ‘dibangunkan di atas landasan kebebasan beragama dan toleransi, suatu prinsip yang termaktub’ dalam perlembagaan negara.

“Keselamatan nasional kita akan ditingkatkan dengan membatalkan Perintah Eksekutif dan Proklamasi Trump,” kata Biden, mengarahkan semua kedutaan dan konsulat Amerika untuk meneruskan proses permohonan visa bersesuaian dengan langkah itu. – Bernama