Biden tandatangani akta susu formula

WASHINGTON, 22 MEI – Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah menandatangani undang-undang yang dijangka dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan susu formula anak damit di negara itu.

“Hari ini saya menandatangani Akta Akses kepada Formula Anak Damit 2022.

“Akta ini membenarkan keperluan program tertentu ditambah dalam Program Pemakanan Tambahan Khas untuk Wanita, Anak Damit dan Kanak-kanak supaya orang ramai dapat mengakses susu formula anak damit dengan lebih mudah,” kata Biden menerusi media sosial pada Sabtu, lapor Sputnik.

Awal minggu ini, pentadbiran Biden memaklumkan AS telah membekalkan 1.5 juta botol lapan auns susu formula anak damit dari Switzerland ke Indiana bagi membantu kekurangan bekalan susu formula.

Pada Rabu, pentadbiran Biden menggunakan Akta Pengeluaran Pertahanan untuk meningkatkan pengeluaran susu formula anak damit dan menggunakan kapal terbang kargo tentera AS untuk mempercepatkan penghantaran produk ke luar negara, menurut Rumah Putih. – Bernama