Biden tandatangani perintah eksekutif

WASHINGTON, 21 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, semalam melancarkan pentadbirannya dengan menandatangani sejumlah perintah eksekutif, termasuk keputusan untuk kembali menyertai Perjanjian Paris yang menumpukan krisis perubahan iklim.

Perintah berkenaan turut ‘menterbalikkan’ pelbagai keputusan dibuat oleh presiden sebelum ini, Donald Trump, sekali gus menggariskan landasan dasar yang jelas bagi pentadbiran baharu di bawah Biden.

Antara lain, AS kembali menyertai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menamatkan larangan kemasukan daripada kebanyakan negara Islam.

Biden turut menandatangani perintah untuk meningkatkan perlindungan alam sekitar dan memperkukuh usaha memerangi pandemik COVID-19.

Perintah lain termasuk menghentikan pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico, usaha memperkembangkan kepelbagaian, dan kesaksamaan terhadap kumpulan minoriti dalam Kerajaan Persekutuan.

Biden menegaskan, sesetengah perkara yang bakal dilaksana membabitkan langkah tegas.

“Kita akan menangani perubahan iklim dengan cara yang kita tidak pernah lakukan selama ini,” katanya merujuk penyertaan semula AS dalam Perjanjian Paris yang ditangani kebanyakan negara pada 2016 bagi menggembleng usaha mengekang pemanasan global.

Selain itu, Biden berkata, tindakannya dalam menangani pandemik COVID-19 yang sudah meragut lebih 400,000 nyawa di AS, bakal membantu perjuangan mengatasi krisis itu. – AFP

Presiden Joe Biden menandatangani perintah eksekutif pertamanya di Pejabat Oval Rumah Putih di Washington pada 20 Januari 2021. – AP