Biden: Tiada perintah berkurung seluruh negara

WILMINGTON, 20 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Joe Biden berkata beliau tidak akan mengeluarkan perintah berkurung di seluruh negara bagi memerangi COVID-19 walaupun berlaku peningkatan kes ketika ini.

“Pada masa sekarang tiada keperluan yang saya lihat untuk melaksanakan perintah berkurung seluruh negara. Saya rasa ia akan menyebabkan tidak produktif,” kata Biden yang akan mengambil alih jawatan Presiden pada 20 Januari nanti.

Namun, katanya sebarang peraturan untuk menentukan bagaimana dan bila masa yang sesuai perniagaan dapat dibuka semula, bergantung kepada keadaan serta ancaman di negara itu, bukan dengan melihat penyebaran wabak itu di seluruh negara.

Beberapa negeri dan bandar di AS mempunyai kuasa untuk melaksanakan peraturan sendiri termasuk perintah berkurung, menutup tempat makan dan mengehadkan perjumpaan ketika kes penularan COVID-19 meningkat di seluruh negara.

AS kini mencatatkan 251,000 kes kematian daripada 11.6 juta kes yang dilaporkan, menurut laporan Universiti Johns Hopkins, iaitu angka kematian tertinggi dicatatkan di negara itu.

Peningkatan kes itu menyebabkan pihak berkuasa negara itu mulai bimbang dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS menggesa orang ramai menangguhkan perjalanan sempena cuti Thanksgiving minggu depan.

“Ini bukan satu perintah. Ini adalah satu cadangan yang serius,” kata Henry Walke, seorang doktor CDC yang bertanggungjawab dalam pengurusan harian tindak balas pandemik itu kepada wartawan.

‘Thanksgiving’ pada minggu depan adalah percutian yang paling sibuk dari segi perjalanan di AS.

Memandangkan sambutan itu jatuh pada Khamis, kebanyakan warga AS mengambil cuti pada Jumaat dan bersambung sehingga hujung minggu untuk menghabiskan masa bersama keluarga. – AFP

Presiden AS dipilih Joe Biden bercakap selepas bertemu dengan gabenor di Wilmington, Delaware pada 19 November 2020. – AFP