Biden umum pelan pentadbiran

WASHINGTON, 21 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden hari ini dijangka mengumumkan pelan pentadbirannya untuk mengatasi krisis koronavirus, tatkala beliau memulakan hari pertamanya di Rumah Putih dengan AS berdepan pelbagai cabaran.

Biden mengangkat sumpah jawatan presiden AS yang ke-46 semalam, menyampaikan ucapan menggesa semua rakyat supaya bersatu untuk memulihkan negara yang dibelenggu pepecahan yang semakin meningkat di bawah pentadbiran Donald Trump.

Dalam ucapan sulung selaku presiden negara demokrasi itu, beliau menegaskan selain mahu merawat sengketa perkauman yang meluas di dalam negara dan bencana wabak COVID-19, AS akan memulihkan hubungan dengan sekutu mereka dan kembali melibatkan diri dengan dunia.

“Kami akan pulihkan hubungan dengan sekutu kami dan sekali lagi melibatkan diri dengan dunia, bukan untuk mengharungi cabaran semalam tetapi cabaran hari ini dan akan datang.

“Kami akan memimpin bukan hanya sekadar teladan menggunakan kekuatan, tetapi daripada kekuatan teladan yang ditunjukkan,” kata Biden.

Biden turut berikrar untuk menjadi penyokong kuat dan boleh diharapkan untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan duniaketika AS juga berdepan kekalutan ekonomi serta saingan dagangan dengan China.

Antara janji Biden adalah bahawa pentadbirannya akan menangani isu ketuanan kulit putih dan keganasan domestik.

“Sekarang, peningkatan ekstremisme politik, ketuanan penduduk kulit putih, keganasan dalam negeri yang harus kita hadapi dan tangani,” ujarnya. – Bernama/AFP

Presiden Joe Biden dan isteri Jill Biden berjalan dalam perarakan semasa upacara Hari Pelantikan pada 20 Januari 2021 di Washington. – AP