Biden umum tonggak pentadbiran baharu

WASHINGTON, 24 NOV – Pemenang pilihan raya presiden, Joe Biden mengumumkan dasar luar dan pasukan keselamatan kebangsaan dibarisi veteran zaman Barack Obama, sekali gus memberi isyarat legasi Presiden Donald Trump bakal berakhir.

Menduduki senarai teratas ialah bekas pegawai kedua tertinggi Jabatan Negara, Antony Blinken, yang dilantik sebagai Setiausaha Negara.

Biden memilih Avril Haines, wanita pertama dilantik sebagai ketua agensi perisikan, Alejandro Mayorkas, Ketua Keselamatan Dalam Negeri berdarah Latin pertama dan Janet Yeelen sebagai Setiausaha Perbendaharaan wanita pertama.

Beliau turut memilih John Kerry sebagai wakil khas AS bagi menangani isu perubahan iklim selain melantik Linda Thomas-Greenfield sebagai Duta di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Jake Sullivan yang pernah menjadi penasihat Biden ketika di bawah Obama dinamakan sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan.

Gambar fail pada 7 November lalu menunjukkan Joe Biden (kanan) dan Kamala Harris (dua kiri) selepas menyampaikan ucapan di Wilmington, Delaware. Joe Biden telah mengumumkan dasar luar dan pasukan keselamatan kebangsaan yang dibarisi veteran zaman Barack Obama, kelmarin. – AFP

Walaupun Trump berusaha mengubah keputusan pilihan raya, pemilihan calon kabinet Biden adalah langkah terbesar beliau setakat ini, dan memberi petanda presiden tertua Amerika Syarikat (AS) itu bersedia mengubah haluan negaranya bermula 20 Januari nanti.

Senarai dikemukakan Biden menggambarkan kesunggu-hannya untuk mengembalikan peranan pemimpin berbilang kaum dalam pentadbiran AS, berbeza dengan rejim pemerintahan Trump.

“Mereka akan berusaha menyahut cabaran diberikan, cabaran yang tidak boleh ditangani secara bersendirian.

“Ini adalah masa untuk mengembalikan kepemimpinan Amerika,” kata Biden menerusi ciapan di Twitter.

Blinken, penasihat Biden sejak sekian lama akan menerajui perubahan dasar yang dilaksanakan Trump, termasuk menyertai semula Perjanjian Paris dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), serta mengembalikan semula perjanjian nuklear bersama Iran, yang dirintis Obama sebelum ini. – AFP