Bielsa rimas dengan media

LONDON, 25 DIS – Jurulatih Leeds United, Marcelo Bielsa menempelak wartawan yang dikatakan cuba untuk mengganggu kestabilan pemainnya dengan mengatakan beliau mengubah taktik serangan.

Pengendali kelahiran Argentina berusia 65 tahun itu mengubah nasib pasukan gergasi yang pernah bersaing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 16 tahun melalui derita kehilangan prestasi terbaik.

Strateginya ialah melakukan serangan setiap masa dan ia ternyata berkesan sehingga mendapat pujian namun terdapat beberapa kekalahan besar termasuk baru-baru ini dibelasah Manchester United 2-6. Leeds akan berdepan Burnley, yang menduduki tempat ke-14 dan tujuh mata di atas zon penyingkiran, di laman sendiri.

“Ini adalah salah satu cara lain untuk mencemuh saya,” kata Bielsa pada sidang media selepas dipersoalkan media berkenaan strateginya.

Bielsa yang dikenali sebagai ‘El Loco’ (seorang yang gila), mengambil masa selama 40 minit untuk menganalisa kekalahan besar pasukannya di Old Trafford ketika menjawab soalan wartawan. – AFP

Reaksi Marcelo Bielsa semasa menyaksikan perlawanan EPL antara Leeds United dan Newcastle United di Stadium Elland Road pada 16 Disember lalu. – AP