Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    BIICF tingkat kemahiran profesional ICT tempatan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Rangka Kerja Kompetensi Industri ICT Brunei (BIICF) dibangunkan untuk menyokong visi Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 serta bermatlamat bagi memastikan bahawa profesional ICT tempatan mempunyai kompetensi ICT relevan untuk melaksanakan tugas mereka dan membimbing mereka dengan kemahiran yang diperlukan yang selaras dengan keperluan industri.

    Penerangan mengenai BIICF itu disampaikan oleh wakil Manpower Industry Steering Committee Working Group for ICT Sector (MISC-WG ICT), Haji Sairul Rhymin bin CA Mohamed ketika menyampaikan pembentangan bertajuk BIICF for Better Career and Performance in ICT Industry, hari ini.

    Antara maklumat utama yang disediakan oleh BIICF termasuk tajuk pekerjaan, kumpulan berfungsi, huraian pekerjaan, fungsi kerja kritikal, keperluan kemasukan, kompetensi teknikal diperlukan dan kemahiran lembut dengan tahap kecekapan serta kursus latihan teknikal yang dicadangkan, jelas Haji Sairul Rhymin lagi semasa Pelancaran BIICF yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir menyempurnakan pelancaran BIICF ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), ketua bersama MISC, ahli-ahli MISC-WG ICT, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta wakil-wakil daripada institusi pengajian tinggi dan industri.

    Dalam pembentangan itu, Haji Sairul Rhymin turut menerangkan bahawa rangka kerja itu merupakan panduan komprehensif bagi keperluan kompetensi, kemahiran dan peranan pekerjaan industri ICT yang menyediakan rujukan praktikal dan berharga untuk pihak-pihak yang berkepentingan khususnya industri, akademia, kerajaan, individu profesional, pelajar dan penyedia latihan bagi persijilan, latihan, pembangunan dan perancangan kerjaya.

    Rangka kerja itu, tambahnya, telah mengenal pasti 79 kompetensi kemahiran lembut dan teknikal bagi 20 peranan pekerjaan di serata enam subsektor industri ICT Brunei iaitu perkhidmatan IT, rangkaian dan telekomunikasi, pembangunan penyelesaian dan aplikasi, sekuriti ICT, media digital serta kecerdasan buatan dan data.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut menyaksikan dan diberikan penerangan mengenai program-program yang berkaitan dengan BIICF termasuk kursus latihan, Blockchain Masterclass, Dynamik Technologies.

    Di samping acara pelancaran itu, beberapa sesi pengenalan telah dirancang oleh MISC-WG ICT dan AITI untuk menyediakan platform bagi institusi pengajian dan majikan untuk meneroka serta mempelajari dengan lebih terperinci mengenai BIICF dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan secara efektif atau digunakan bagi pembangunan bakat, latihan dan perancangan kerjaya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...