Bijak pilih pemakanan lebih sihat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Negara Brunei Darussalam mempunyai pelbagai pilihan makanan yang meluas dan walaupun keputusan untuk membuat pilihan jenis dan jumlah makanan yang dimakan dibuat oleh individu itu sendiri, suasana persekitaran tempat kerja serta membeli-belah dan faktor-faktor lain boleh mempengaruhi pilihan.

Oleh itu, adalah amat penting untuk memastikan penduduk negara ini dapat membuat pilihan yang bijak dalam suasana berkenaan dengan memastikan bahawa terdapat dasar dan inisiatif yang membolehkan mereka untuk membuat pilihan yang lebih sihat dengan lebih mudah.

Kementerian Kesihatan telah melaksanakan usaha untuk memudahkan orang ramai membuat pilihan yang lebih sihat menerusi penggubalan pelbagai dasar di sekolah dan tempat kerja serta pelaksanaan Inisiatif Pilihan Lebih Sihat, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Simposium Garis Pandu Kebangsaan Pemakanan bagi Pemakanan Sihat Negara Brunei Darussalam 2020 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, pihak-pihak berkepentingan yang lain seperti industri makanan dan minuman dapat meraih manfaat daripada garis panduan kerana mereka mempunyai pengaruh yang signifikan serta mampu memainkan peranan dalam menjana persekitaran pemakanan yang kondusif kepada kesihatan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menekankan bahawa perkara yang penting adalah para pengguna memerlukan panduan yang jelas supaya menerak dalam membuat pilihan serta keputusan mengenai pemakanan mereka.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada majlis ter-sebut.

Dengan mesej yang betul dan media perhubungan yang teratur di peringkat yang berbeza, garis padu kebangsaan berkenaan dapat membantu literasi pemakanan warga Brunei dan memastikan bahawa mereka akan mengamalkan pemakanan yang lebih seimbang dan sihat.

Pada masa yang sama, ia juga dapat memperbetulkan sebarang salah tafsiran mengenai pemakanan sihat yang sering diedarkan dalam media terutamanya media sosial, jelasnya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham mendedahkan bahawa Kajian Kebangsaan Brunei STEPS bagi Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor-faktor Risiko 2015-2016 menunjukkan bahawa 28.2 peratus penduduk negara adalah obes, 51.3 peratus mempunyai kadar kolesterol dalam darah yang tinggi dan 91.7 peratus memakan kurang daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayur sehari dengan kadar purata 1.6 hidangan sayur-sayuran dimakan sehari.

Di samping itu, 21.8 peratus warga Brunei kerap atau selalu menambah garam atau sos-sos yang tinggi garam kepada makanan mereka dan 19.5 peratus, kerap atau selalu memakan makanan diproses dengan jumlah garam yang tinggi.

Ia bermakna bahawa pengambilan harian garam dalam kalangan warga Brunei ialah sebanyak 10 gram iaitu dua kali ganda jumlah yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 5 gram sehari.

Dari segi pengambilan lemak, Kajian Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan (NHANSS) dalam 2009-2010 menunjukkan bahawa lebih daripada separuh penduduk dewasa negara memakan lebih daripada 10 peratus tenaga daripada lemak tepu.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa kadar pengambilan minuman bergula dalam kalangan orang dewasa adalah kira-kira 23 peratus dan jumlah itu hampir dua kali ganda dalam kalangan kanak-kanak.

Kadar pengambilan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak itu, diperkuatkan lagi menerusi dapatan daripada Kajian Kesihatan Sekolah Global pada 2014 di mana ia menunjukkan sebanyak 46.2 peratus pelajar-pelajar sekolah menengah meminum minuman bergula setiap hari.