Bijak pilih produk penutup hidung dan mulut

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Dalam keadaan negara berhadapan dengan jangkitan COVID-19, barangan pembasmi kuman dan penutup hidung dan mulut merupakan antara barangan yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Dengan permintaan yang tinggi daripada pengguna, terdapat pelbagai jenis penutup hidung dan mulut yang boleh dibeli di kedai-kedai dan juga menerusi media sosial.

Sehubungan itu, sebuah syarikat pengedar yang diberikan kebenaran bagi menjual penutup hidung dan mulut di negara ini menasihatkan orang ramai untuk bijak memilih jenis penutup hidung dan mulut serta yang tepat dengan kegunaannya.

Pada masa yang sama, para pengguna juga dinasihatkan untuk memastikan bahawa penutup hidung dan mulut berkenaan memenuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan, jelas May Lim dari Syarikat SMB Food Manufacturing Sdn Bhd yang mengimport penutup hidung dan mulut perubatan berjenama Kadibutch dari Wilayah Guangdong, China dalam temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

Beliau menerangkan lagi bahawa para pengguna perlu memastikan bahawa penutup hidung dan mulut itu mempunyai tiga lapisan serta dibungkus dengan teratur dan mempunyai persijilannya tersendiri, alamat pembuat serta kod bar.

Penutup hidung dan mulut Kadibutch yang memenuhi piawaian antarabangsa serta sijil kualiti.

May turut menjelaskan bahawa bagi penutup hidung dan mulut yang digunakan dalam bidang perubatan, lapisan tengah penutup hidung dan mulut berkenaan adalah amat penting di mana ia mempunyai lapisan melt blown di mana fabrik bukan tenunan berkenaan merupakan penapis utama yang mempunyai kadar penapisan yang tinggi dengan fungsi pengasingan, penebat haba dan penyerapan minyak.

Beliau menerangkan lagi bahawa terdapat jenis penutup hidung dan mulut yang tidak memberikan perlindungan bakteria kepada pengguna tetapi melindungi daripada habuk atau jerebu.

Penutup hidung dan mulut yang berkesan ialah yang boleh menawarkan pelindungan 95 peratus kadar penapisan iaitu perlindungan daripada bakteria, titisan dan asap serta juga tidak tembus bila ia basah dan tidak mudah terbakar.

Sementara itu, bagi May, syarikatnya yang mula membekalkan penutup hidung dan mulut di negara ini sejak Februari menyatakan bahawa produk yang dijual oleh syarikatnya adalah pada harga yang berpatutan yang mengandungi sebanyak 50 keping penutup hidung dan mulut.

Beliau mengakui pada keadaan masa kini, terdapat segelintir pihak yang menjual pada harga yang lebih mahal atau menawarkan penutup hidung dan mulut yang kurang sesuai.

Dalam hubungan itu, beliau menasihatkan para pengguna untuk membuat pilihan yang bijak serta memastikan penutup hidung dan mulut yang dibeli oleh mereka memenuhi piawaian antarabangsa dan tidak mudah terpedaya dengan produk yang tidak menepati keperluan atau kehendak mereka.