MEMBENTUK taman berhampiran pantai tidak semudah di lokasi lain kerana angin dari laut yang masin memberi pengaruh kepada pertumbuhan tanaman. Jika silap pemilihan pokok dan kedudukan boleh menjejaskan pertumbuhannya.
Udara masin memberi cabaran kepada usaha pembentukan landskap namun bagi Hotel The Qamar, Paka, Terengganu yang terletak di kawasan pantai, tidak menjadikan itu sebagai alasan membiarkan halamannya gersang.
Bagi memastikan tanaman landskap tumbuh segar dan berbunga, pihaknya perlu memahami cara pengendalian tanaman di kawasan berkenaan
Justeru individu yang menetap di kawasan berdekatan dengan pantai harus mengetahui pokok yang sesuai dan tidak dengan udara masin. Jika tidak sesuai, kena kaji bagaimana ia dapat ditanam dan tumbuh dengan segar.
Pertama, perlu difahami sifat sesuatu jenis pokok sama ada ia lasak untuk berada di kawasan berudara masin atau sebaliknya.

Pokok tidak lasak cepat kering jika terdedah kepada angin masin, mengakibatkan pertumbuhannya tidak sempurna malah boleh menyebabkan ia mati.
Cara mengatasinya adalah dengan memilih lokasi sesuai di halaman. Pokok kurang lasak ditempatkan di kawasan terlindung seperti bangunan atau pondok.
Langkah itu dapat mengelakkan tanaman berkenaan daripada terkena tiupan angin laut secara terus.
Kesan daripada udara masin bukan sahaja kepada pokok yang baru tumbuh, bahkan pokok sudah besar juga turut terjejas jika ia jenis alah kepada angin laut.
Biarpun pokok sudah besar, tidak juga bermakna boleh dibiarkan sahaja sebaliknya perlu diawasi dari semasa ke semasa untuk memastikan pertumbuhannya tidak terbantut.
Pokok serasi udara masin iaitu jenis yang memang hidup di tepi laut boleh ditanam tanpa pelindung. Antara pokok yang tahan udara masin adalah pokok kertas dan kelapa.
Pokok yang memerlukan perlindungan antaranya ialah cempaka kerana ia alah kepada udara masin, oleh itu ia tak sesuai ditanam di kawasan yang terlalu terdedah.