Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    BIL perkasa ekosistem teknologi digital

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Makmal Inovasi Brunei (BIL) dihasratkan untuk menjadi pemangkin bagi memacu pembangunan ekosistem teknologi digital negara yang akan membantu mengembangkan syarikat pemula dan membangun bakat tempatan untuk menghasilkan penyelesaian yang memanfaatkan teknologi baharu dalam menangani masalah dunia sebenar dan merebut peluang-peluang pasaran.

    Sehubungan dengan itu, BIL yang merupakan kolaborasi di antara Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Shell LiveWIRE Brunei (LiveWIRE), Datastream Digital Sdn Bhd (DST) dan Darussalam Enterprise (DARe), terletak di tingkat bawah dan tingkat pertama, Knowledge Hub (KHUB), mempunyai kemudahan yang berasingan bagi peserta untuk mengendalikan program usahawan teknologi, latihan, sesi pembentangan serta galeri pameran teknologi terpilih bagi orang ramai untuk mempelajari mengenai mekanisme konseptual serta aplikasi praktikal bagi teknologi baharu.

    BIL dilancarkan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang merupakan pengerusi bersama Majlis Ekonomi Digital (DEC).

    BIL disejajarkan dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara pintar melalui Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang dipacu oleh DEC.

    Pengurus Besar BIL dan Naib Presiden Bersekutu, Perniagaan Digital, DST, Freddie Ting berkata pembangunan ekosistem teknologi dan inovasi akan meningkatkan produk dan penyelesaian bukan sahaja menangani peluang-peluang tempatan tetapi juga berpotensi untuk dikembangkan di luar Brunei.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Pengiran Shamhary diberikan penerangan dan menyaksikan dengan lebih dekat kemudahan serta produk teknologi yang dihasilkan di BIL.
    Salah satu kemudahan terdapat di BIL.

    BIL menumpu kepada 10 teknologi baharu dan baru muncul termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Robotik dan Automation, Blockchain, Cloud Computing, Analisis Data, Kembar Digital (digital twin), Internet of Things (IoT), Addictive Manufacturing serta Sekuriti Siber.

    Freddie Ting berkata untuk memanfaatkan sumber daripada empat organisasi pengasas, BIL berhasrat untuk membangunkan ekosistem yang mengumpulkan pihak yang berkepentingan dengan pemain-pemain utama sektor berkenaan untuk menjana pembangunan kapasiti, akses pasaran serta program masyarakat.

    Beliau menerangkan bahawa BIL mempunyai tiga tunggak iaitu Program Innovate Brunei, Capability Accelerator untuk membina kompetensi dalam bidang teknologi khusus serta pameran inovatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai keusahawanan teknologi dan teknologi baharu.

    Innovate Brunei mempunyai lima komponen utama atau pods yang direka untuk membantu usahawan teknologi baharu dan sedia ada mengembangkan idea mereka kepada prototaip dan seterusnya mencapai skala komersial.

    Pod pertama dikenali sebagai Innovate Accelerator, di mana para peserta berkumpul bagi hackathons untuk membangunkan penyelesaian dan produk dalam bidang-bidang peluang yang dikenal pasti oleh BIL berdasarkan kepada permintaan pasaran.

    Peserta yang berjaya akan dihubungkan dengan penaja-penaja yang akan menyediakan pembiayaan benih atau sumber untuk memulakan pembangunan projek mereka.

    Peserta Accelerator dan usahawan teknologi yang sedia ada juga boleh mendapatkan akses kepada pembiayaan lanjut daripada pod kedua, Innovate Fund Connect, yang menyediakan akses kepada pelabur malaikat (angel investors), pemodal teroka serta organisasi yang tertubuh.

    Konsultasi dan sokongan seterusnya bagi para peserta disediakan di bawah pod ketiga, Innovate Boost, yang akan menyediakan prospek klien dengan direktori usahawan teknologi Brunei.

    Pod keempat, Innovate Beyond Brunei, dibangunkan untuk membantu syarikat-syarikat pemula yang ingin berkembang ke pasaran antarabangsa dengan menyediakan prospek pasaran, hubungan dan konsultasi.

    Pod terakhir, Innovate Community, bertujuan menghubungkan ekosistem inovasi yang lebih luas termasuk peserta BIL, institusi pengajian tinggi, agensi kebangsaan serta korporat melalui aktiviti dan acara.

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Daniel Leong berkata penubuhan BIL memenuhi keperluan program keusahawanan berdasarkan teknologi yang berintegrasi dalam ekosistem pembangunan perniagaan yang lebih luas yang akan membantu meningkatkan jumlah dan daya saing keseluruhan syarikat pemula teknologi dalam negara.

    Syarikat pemula teknologi, jelas Daniel Leong lagi, mempunyai potensi besar untuk menangkap nilai dan menyampaikan inovasi pada skala tetapi mereka masih merupakan minoriti daripada segi jumlah keseluruhan syarikat pemula dalam negara.

    Dengan BIL, beliau berharap dapat menyaksikan lebih banyak pertumbuhan bagi syarikat pemula teknologi yang akan memberikan penyelesaian yang lebih pelbagai dengan jangkauan yang lebih besar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...