Penggunaan kenderaan elektrik (EV) sememangnya sudah terkenal dan meluas di luar negara, namun penggunaan dan penerimaan EV ini agak rendah di negara kita jika dibandingkan dengan kenderaan konvensional.
Bagaimanapun tidak dinafikan dengan perkembangan teknologi yang pantas tidak mustahil masyarakat secara perlahan-lahan menerima penggunaan EV ini secara sepenuhnya.
Pada 25 Mac tahun lalu, negara kita telah melancarkan projek rintis EV yang bertujuan memacu negara ke arah lebih hijau bagi mengatasi isu-isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan memberikan pendedahan berhubung trend teknologi permotoran dengan penggunaan EV menjelang 2035.
Namun sehingga kini, perkembangan mahupun berita tentang pelaksanaan projek rintis EV ini tidak didengari di mana-mana.
Justeru adakah projek ini hanya tinggal cadangan sahaja? Bila pelaksanaan kenderaan ini akan dikuatkuasakan?
Jika difikirkan penggunaan EV ini sememangnya banyak memberikan kebaikan kepada pengguna dan alam sekitar antaranya kurangnya pelepasan karbon yang memainkan peranan sangat penting dalam membantu mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Ia juga mengurangkan tahap pencemaran oleh kereta. Namun keburukan paling ketara pada penggunaan EV ini adalah daripada segi harga kenderaan berkenaan terutama kereta EV yang setentunya hanya mampu dimiliki oleh sesetengah orang sahaja.
Di samping itu, kekhuatiran bagi tempat-tempat pengecasan juga timbul kerana di negara kita, ia masih belum ada dibangunkan di mana-mana tempat.
Tidak dinafikan, meskipun kereta EV ini kurang mampu dimiliki, namun sesetengah masyarakat di negara ini lebih berminat dengan motosikal elektrik kerana harganya yang mampu milik berbanding jenis konvensional.
Timbul persoalan di sini, jika negara kita telah mula menguatkuasakan penggunaan kenderaan EV ini, bagaimana dengan syarat-syarat khusus bagi motosikal EV yang dibenarkan digunakan di jalan raya?
Persoalan ini berdasarkan pemerhatian ke atas motosikal-motosikal elektrik yang dijual di negara ini sepertinya kurang memenuhi syarat aspek keselamatan jika digunakan di jalan raya, contohnya struktur reka bentuk jauh berbeza daripada konvensional.
Jika ia bertentangan, setentunya pelaburan awal orang meminati motosikal EV suatu hari nanti dianggap sia-sia sahaja.
Ingin Tahu