Bila perlu membuat pinjaman?

Di dalam kehidupan, tiada yang pernah lari dengan permasalahan hutang. Hutang tidak hanya membawa maksud kepada meminjam wang daripada orang lain, malah hutang ini juga boleh berlaku antara kita dengan Allah.

Agama Islam sendiri mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara darurat (terlalu penting).

Malah umat Islam juga dituntut untuk mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain termasuk memberikan bantuan sama ada melalui sedekah ataupun pinjaman bagi meringankan bebanan dan memenuhi keperluan yang ditanggung.

Perkara tersebut ada disebutkan dalam firman Allah dalam surah Al-Maidah Ayat 2 yang menjelaskan agar umat Islam sentiasa tolong-menolong dalam perkara yang membawa kebajikan dan menghindari memberi pertolongan kepada perkara-perkara yang mendatangkan dosa serta permusuhan yang boleh melanggar hukum-hakam Allah SWT.

Namun, apakah yang menyebabkan seseorang itu berhutang? Dan apakah hukumnya bagi si penghutang terhadap sebab mereka berhutang.

Orang yang berhutang ini memiliki dua keadaan yang membuatkan mereka berhutang iaitu seseorang yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan kehidupan dan seseorang yang sengaja berhutang demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.

Di dalam Islam terdapat beberapa hukum yang diberikan ke atas si peng-hutang. Jika si penghutang membuat pinjaman untuk digunakan bagi tujuan benda yang diharamkan seperti membeli atau meminum arak, berjudi dan sebagainya, setentunya ia dihukumkan haram kerana perkara-perkara sudah menjadi larangan di dalam agama.

Manakala, jika si penghutang menggunakan pinjamannya untuk perkara yang tidak bermanfaat atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk atau si penghutang tahu tidak mampu membayarnya semula hukumnya adalah makruh. Hutang hanya dihukumkan wajib bila si penghutang itu amat memerlukan untuk menampung hidupnya dan keluarga-nya dalam memenuhi keperluan asasi seperti makan, minum, tempat tinggal, pakaian untuk menutupi aurat dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, di dalam Islam menyatakan hukum membayar hutang itu adalah wajib. Hal ini kerana, hak si pemiutang itu tidak boleh dinafikan melainkan jika mereka menghalalkannya.

Justeru, meskipun Islam menggalakkan kita untuk membuat pinjaman daripada orang lain, namun biarlah pinjaman itu dilakukan ketika kita benar-benar memerlukannya dan dilakukan bagi perkara-perkara yang bermanfaat.

Janganlah kita membuat pinjaman bagi perkara-perkara yang tidak berfaedah kerana dikhuatiri jika kita tidak mampu membayarnya akan menjadi beban kepada kita suatu hari kelak. Sehingga kita sanggup menipu dan lari untuk membayarnya sehingga membebankan si pemiutang. Jika kita masih mampu untuk berusaha mencari rezeki, teruskan dengan usaha kita dan sentiasa yakin bahawa rezeki Allah itu pasti ada. – Agensi