Bila pusat penjagaan kanak-kanak dibuka semula?

Baru-baru ini, negara kita telah diisytiharkan memasuki fasa awal endemik yang bermula esok, 15 Disember.

Pelbagai peraturan telah dilonggarkan termasuk taman permainan secara tertutup. Namun agak memusykilkan saya, kenapa pusat-pusat penjagaan kanak-kanak masih belum dibenarkan?

Sebagaimana saya sendiri pemilik pusat penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas yang hanya beroperasi dengan nisbah 1:1 dari dulu hingga sekarang. Saya sudah menanggung tunggakan bayaran sewa, terpaksa mengurangkan gaji pekerja, pekerja dicutikan tanpa gaji, pekerja berhenti kerana tidak sanggup cuti tanpa gaji. Apakah bezanya membenarkan kanak-kanak bermain di ruangan tertutup dengan menyentuh permukaan di sana sini, melakukan fizikal kontak dengan kanak-kanak lain. Sedangkan kelas saya memiliki pekerja yang sudah menyelesaikan dua dos vaksinasi, mengamalkan penjagaan SOP yang ketat serta pembasmian kuman dan pembersihan permukaan pada setiap masa.

Saya yakin pemilik-pemilik pusat penjagaan kanak-kanak lain juga turut menanggung nasib yang sama seperti saya, yang sudah berbulan-bulan menanggung sewa dan malah ada yang sampai tidak mampu membayar gaji pekerja.

Setakat ini, yang disarankan hanyalah belajar secara dalam talian, tetapi adakah awda pernah terfikir mengenai situasi ibu bapa yang bekerja dan dalam masa yang sama tidak dapat mengajar anak mereka secara maya?

Ada juga sesetengah ibu bapa yang menyuarakan kesukaran memantau dan melakukan pembelajaran bersama anak mereka secara maya seperti ketika berada di rumah anak mereka hilang fokus dan terganggu dengan hal lain.

Beban ini sudah ditanggung sejak bulan Ogos lalu dan besar kemungkinan saya tidak akan dapat meneruskan perniagaan jika ianya masih berterusan. Justeru, saya memohon kepada pihak relevan untuk mempertimbangkan hal ini.

Zeffry Hassan

Ketika negara memasuki fasa awal endemik pada 15 Disember ini, taman permainan secara tertutup mula dibenarkan namun kenapa pusat-pusat penjagaan kanak-kanak masih belum dibenarkan. – Gambar hiasan