Pengacara Noor Neelofa memaklumkan anak sulungnya iaitu Muhammad Bilal sepatutnya lahir pada tarikh sama ulang tahun kelahirannya ke-33.
Menerusi Instagram, Neelofa berkongsi salinan ultrasound yang turut terpapar tarikh jangkaan anak damit lelaki itu dilahirkan iaitu pada 10 Februari.
Meskipun tidak kesampaian untuk melahirkan anak pertama pada hari kelahirannya, Neelofa bagaimanapun menganggap ia ketentuan terbaik daripada Allah SWT.
“Permata hati kurniaan Allah ini sepatutnya lahir juga pada hari yang sama dengan ummi dia, tapi aturan dan waktu yang Allah susun itu jauh lebih baik.
“Hadiah teristimewa buatku, menjadikanku seorang ibu. Semoga Muhammad Bilal dibesarkan menjadi anak soleh, permata keluarga yang sentiasa menguatkan kasih sayang dan hubungan dengan Allah SWT. Harta dunia akhirat Abah dan Ummi,” tulisnya.
Isteri kepada pelakon dan pendakwah bebas Haris Ismail atau Pencetus Ummah (PU) Riz ini selamat melahirkan cahaya mata pertama pada 29 Januari lalu.
Sementara itu, PU Riz menerusi laman sosial Instagram turut menitipkan ucapan istimewa buat isteri tersayangnya itu.
“Terima kasih teman pak ustaz jadi spideriz (Spiderman + Haris). Alhamdulillah atas semuanya.
“Selamat hari jadi isteriku. Semoga Allah beri kebaikan nikmat dan pahala yang banyak atas pengorbanan sebagai ibu. Selamat hari lahir,” tulis Riz.
Neelofa dan Haris mendirikan rumahtangga pada 27 Mac tahun lalu. – Agensi