Bilangan kematian semakin menurun di UK

LONDON, 27 APRIL – Perkembangan COVID-19 di Britain semakin baik semalam dengan mencatatkan penurunan angka harian paling rendah.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menterinya, Boris Johnson hari ini kembali memulakan tugas di Downing Street selepas pulih daripada penyakit itu.

Sehingga semalam, bilangan kematian negara itu seramai 20,732 orang dengan dalam tempoh 24 jam lalu, bilangan korban direkodkan sebanyak 413 nyawa sekali gus menjadikan angka paling rendah sepanjang April.

Kali terakhir Jabatan Kesihatan merekodkan jumlah kematian rendah pada 31 Mac dengan mencatatkan 381 kematian.

Angka terkini itu diterbitkan hanya beberapa jam sebelum Johnson diumumkan kembali mengetuai kerajaan.

“Saya boleh sahkan Perdana Menteri sudah memulakan kembali tugas di Downing Street,” kata pegawai rasminya.

Johnson dilaporkan memulakan tugasnya hari ini selepas pulih daripada penyakit itu dengan dibenarkan keluar daripada hospital sejak 12 April lalu. Antara yang diberikan pertimbangan segera ialah kelonggaran peraturan penjarakan sosial yang mungkin dilonggarkan sedikit.

Biarpun angka kematian itu menunjukkan perubahan, namun menurut Setiausaha Alam Sekitar, George Eustice, perintah berkurung akan terus dilaksanakan di negara berkenaan. – AFP