Bilbao Juara Piala Super, Messi dibuang padang

MADRID, 18 JAN – Lionel Messi dibuang padang buat kali pertama dalam sejarahnya bersama Barcelona ketika pasukan Athletic Bilbao (gambar bawah) mengejutkan semalam dengan menewaskan kelab Catalan itu 3-2 untuk memenangi Piala Super Sepanyol.

Beberapa saat sebelum Bilbao meraih kemenangan itu, Messi dilihat mengasari Asier Villalibre yang sebelum itu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90 untuk menafikan kemenangan Barca.

Dua jaringan gol Antoine Griezmann pada awalnya dilihat sudah cukup untuk memastikan Barcelona menjulang trofi kemenangan namun Villalibre berjaya menyamakan kedudukan sebelum Inaki Williams menjaringkan gol kemenangan tiga minit dalam masa tambahan.

Messi kembali beraksi selepas mengalami masalah kecederaan paha di Seville dan perlu bermain sepanjang 120 minit ketika Barcelona cuba membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Sebaliknya, pemain berusia 33 tahun itu hilang kesabaran pada penghujung perlawanan apabila dia membalas cabaran Villalibre dengan mengasarinya menggunakan tangan memukul belakang Villalibre.

Ia adalah kad merah pertama diraih Messi sepanjang 753 penampilannya bersama Barcelona selain dua kad merah diterima ketika beraksi bersama Argentina pada 2005 dan 2019.

“Selepas sekian lama dalam bola sepak, Leo tahu dia kembali cergas untuk bermain,” kata jurulatih Barca, Ronald Koeman

“Kami mengadakan perbincangan dan dia berkata bersedia untuk diturunkan. Dia memberikan sumbangan yang maksimum.”

Bilbao sebelum ini telah berjaya menewaskan Real Madrid di separuh akhir pada Khamis lalu. Ini bermakna gelaran dan permulaan yang sempurna untuk Marcelino Garcia Toral, yang hanya mengambil alih tugas sebagai jurulatih kurang dari dua minggu yang lalu.

Tetapi pujian juga diberikan kepada Gaizka Garitano, yang membawa pasukan itu mara ke final Copa del Rey musim lalu, yang mendapat kelayakan di tempat pertama.

“Ini untuk Gaizka Garitano dan staf jurulatihnya yang juga membawa kami ke sini,” kata Williams.

Penganjur di Persekutuan Bolasepak Sepanyol mungkin mengharapkan tarikan global menerusi perlawanan Clasico, terutama kerana pandemik koronavirus telah membuat kejohanan di Sepanyol menguntungkan, di mana ia dimainkan tahun lalu.

Namun ini adalah final yang kecoh, dengan keputusan yang sangat mengejutkan. – AFP