BILIF menang anugerah GIFA

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) sekali lagi, menerima pengiktirafan pada Global Islamic Finance Awards (GIFA) ke-11 dalam kategori GIFA Excellence Award (Islamic Finance Training & Education) 2021.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BILIF, di sini, pertama kali institusi berkenaan memenangi anugerah dalam kategori yang sama adalah semasa Anugerah GIFA ke-9 pada 16 September 2019 di Cape Town, Afrika Selatan.

Tahun ini, penyampaian anugerah berkenaan berlangsung secara dalam talian, hari ini. Kenyataan menjelaskan, GIFA diiktiraf di arena antarabangsa sebagai salah satu anugerah paling berprestij dalam industri perbankan dan kewangan Islam.

Anugerah berkenaan diselenggarakan secara tahunan oleh Edbiz Corporation, United Kingdom, yang memberi penghargaan kepada kerajaan, institusi dan individu yang telah meraih kecemerlangan dalam menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan industri perbankan dan kewangan Islam.

Ini termasuk kemajuan dalam kepemimpinan dan perlaksanaan inisiatif bertaraf dunia, selain perkembangan produk dan perkhidmatan dengan skala yang melebar luas.

BILIF menerima pengiktirafan GIFA ke-11 dalam kategori GIFA Excellence Award (Islamic Finance Training & Education) 2021. – Gambar serahan BILIF

Pada majlis itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa GIFA, pihak-pihak berkepentingan BILIF dan pelanggan-pelanggan BILIF atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap BILIF.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan kukuh terhadap komitmen kami dalam pembangunan modal insan untuk menaikkan standard industri kewangan Islam dan mendorong keyakinan dan komitmen kami terhadap usaha ini,” ujarnya.

BILIF dengan giat melaksanakan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.

Sejak ditubuhkan pada 2010 hingga Jun 2021, BILIF telah mengadakan lebih 500 kursus pembelajaran dan latihan berkualiti tinggi dan mengadakan lebih daripada 58 seminar signature dan acara kolaborasi bagi lebih daripada 13,000 peserta. Ini juga termasuk program-program Virtual Instructor-Led Training (VILT) dan acara-acara yang dikendalikan secara dalam talian.