Bilik, dua kereta musnah dijilat api

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Sebuah bilik tidur di tingkat atas sebuah rumah dan dua buah kereta musnah keseluruhannya dalam kejadian kebakaran di Kampung Perpindahan Lambak Kanan malam, kelmarin.

Kejadian kebakaran itu juga merupakan kebakaran kedua yang dilaporkan pada bulan Ramadan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi C, Daerah Brunei Muara, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa panggilan mengenai kejadian berkenaan diterima pada pukul 9:52 malam dan dua buah jentera bomba dari Balai Bomba Lambak Kanan bersama 12 orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Haji Wahab bin Wahid dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut kenyataan itu, apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api besar membakar sebuah bilik tidur di bahagian tingkat atas manakala dua buah bilik tidur yang lain terkena bidu-bidu asap dan mengalami kerosakan akibat terkena air.

Api yang merebak ke tingkat atas rumah berkenaan melalui bilik stor di tingkat bawah daripada perunan yang ditinggalkan itu turut memusnahkan dua buah kereta yang diletakkan di bawah rumah berkenaan.

Kelihatan sebuah kereta yang musnah dijilat api di sebuah rumah di Kampung Perpindahan Lambak Kanan, baru-baru ini.
ATAS & BAWAH: Gambar serahan JBP menunjukkan bilik tidur tingkat atas rumah dan dua buah kereta yang musnah keseluruhan dalam kejadian kebakaran di Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada malam kelmarin.

Rumah jenis konkrit satu tingkat itu kepunyaan seorang lelaki warga tempatan yang didiami bersama tujuh penghuni.

Bagaimanapun mereka berjaya keluar sebelum jentera bomba tiba.

Hasil siasatan JBP mendapati punca api dipercayai daripada perunan yang ditinggalkan di mana anggaran kerugian adalah kira-kira $45,000 dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku.

Dalam kenyataan itu lagi, JBP menyarankan orang ramai untuk mengelak daripada membuat pembakaran terbuka (perunan) yang boleh menyebabkan kebakaran, memastikan penyusunan barang-barang teratur, memastikan untuk menyimpan bahan mudah terbakar di dalam bekas yang dikhaskan iaitu jerry can dan untuk menyimpannya di tempat yang selamat, tidak membuat penyambungan atau pendawaian tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa ataupun yang berlesen, sentiasa memastikan pendawaian dalam keadaan baik dan teratur, sentiasa mematikan bekalan elektrik yang tidak digunakan serta memastikan mempunyai alat pemadam api dan fire blanket di rumah atau premis bagi tindakan awal sebelum api menjadi besar dan merebak.

Mereka juga disarankan untuk menghubungi talian kecemasan bomba 995 dengan segeranya jika berlaku sebarang insiden kecemasan dan memastikan untuk memberikan maklumat yang betul.

Pegawai bomba dan penyelamat yang turut hadir semasa operasi tersebut ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop; Stesen Komander Balai Bomba Lambak Kanan, ASFR Muhammad Saifuddin bin Abdullah; dan Ketua Bahagian Penguat kuasa Undang-undang dan Penyiasatan Keselamatan Kebakaran seramai enam orang yang diketuai oleh Pemangku SFR Dayangku Noor Faridahwati binti PSM Pengiran Anak Omar Ali.

Agensi-agensi lain yang terlibat ialah Pasukan Polis Diraja Brunei yang diketuai oleh Sarjan 3502 Azman bin Ajmain bersama tiga anggotanya dan tiga dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik yang diketuai oleh Awang Affendi bin Haji Latif.